
KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Dua lelaki tempatan dipenjarakan selepas gagal membayar denda RM120,000 setiap seorang yang dikenakan Mahkamah Sesyen Sepang kerana memiliki Gas Petroleum Cecair (LPG) bersubsidi bagi urus niaga borong tanpa lesen.
- Dituduh melanggar Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan, memiliki 3,450 kilogram LPG.
- Premis beroperasi tanpa lesen; kedua-dua tertuduh gagal mengemukakan lesen atau permit sah.
- Sebuah lori dan hasil jualan sebanyak RM13,127.50 dilucuthakkan kepada kerajaan.
- Serbuan pada 16 November 2023 di Jalan Dengkil-Banting; dokumen penghantaran dan telefon bimbit turut disita.
Menurut Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Azman Adam, mereka didapati bersalah mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana memiliki 3,450 kilogram LPG.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM120,000 terhadap setiap tertuduh atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda, namun mereka gagal menjelaskan denda berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan sebuah lori dan hasil jualan berjumlah RM13,127.50 dilucuthakkan kepada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, kesalahan tersebut dilakukan pada 16 November 2023 di sebuah premis di Jalan Dengkil-Banting, Kampung Dengkil, Sepang.
Azman menambah, ketika serbuan dilakukan anggota penguat kuasa, didapati kedua-dua tertuduh sedang memunggah tong LPG dari sebuah lori ke stor penyimpanan yang beroperasi tanpa lesen atau permit.
Pemeriksaan menemukan 3,450 kilogram LPG terdiri daripada tong berisi dan tong kosong pelbagai jenama.
Turut disita sebuah lori, dokumen penghantaran dan sebuah telefon bimbit yang dipercayai berkaitan dengan kegiatan itu.
Menurut Azman lagi, siasatan turut mendapati premis berkenaan serta kedua-dua tertuduh gagal mengemukakan lesen atau permit yang sah untuk mengendalikan barang kawalan berjadual tersebut.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil lapan saksi dan mengemukakan 89 barang kes sebelum mahkamah mensabitkan kedua-dua tertuduh.
KPDN menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.