
LUNDU, 4 Ogos – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah diaktifkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Lundu bagi mengesan seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) yang dilaporkan hilang di Kampung Jangkar, di sini pada Isnin.
- Mangsa dikenali sebagai Anina Sakim, 36, kali terakhir dilihat oleh abangnya sekitar pukul 8 malam.
- Mempunyai masalah pembelajaran, dipercayai keluar tanpa pengetahuan keluarga; pencarian awal dibuat keluarga dan penduduk sebelum laporan polis.
- Pihak bomba menggerakkan tujuh anggota; operasi SAR ditangguh pada 7.50 malam kerana gelap dan disambung semula esok.
Menurut komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Lundu, Joseph Dhea, mangsa yang dikenali sebagai Anina Sakim, 36, kali terakhir dilihat oleh abangnya kira-kira pukul 8 malam semalam.
Abangnya memaklumkan, mangsa yang mempunyai masalah pembelajaran dipercayai keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarga.
Susulan itu, operasi mengesan mangsa dilancarkan oleh keluarga dengan bantuan penduduk kampung sebelum satu laporan polis dibuat.
Bagaimanapun, mangsa yang memakai seluar jersi pendek dan baju berwarna gelap itu gagal ditemukan.
Joseph ketika dihubungi RTM memaklumkan, pihaknya menggerakkan sepasukan tujuh anggota bagi mengesan mangsa di kawasan berhampiran selepas menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu pada 6.51 petang tadi.
Bagaimanapun operasi SAR ditangguh pada 7.50 malam kerana keadaan gelap dan akan disambung semula esok.