
ALOR SETAR, 4 Ogos – Seorang operator kilang dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM5,500 oleh mahkamah di sini hari ini kerana melakukan aksi berbahaya semasa menunggang motosikal sambil membawa isteri serta anaknya.
- Tertuduh hilang kelayakan memegang lesen selama lima tahun.
- Tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
- Polis menegaskan jalan raya bukan gelanggang untuk menonjol; aksi berbahaya boleh mengorbankan nyawa dan tidak akan dikompromi.
Muhammad Nurhakimi Mat Sukri, 26 tahun, turut hilang kelayakan memegang lesen selama lima tahun.
Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Masjid Zahir pada 28 Mac lalu sebelum rakaman aksinya tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Syed Basri Syed Ali berkata, jalan raya bukan gelanggang untuk menunjukkan kehebatan atau mencari populariti di media sosial.
Menurut beliau, aksi berbahaya boleh mengorbankan nyawa penunggang, pembonceng, pengguna jalan raya lain serta orang awam yang tidak bersalah.
Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan samseng jalanan.