Dua lelaki ditahan disyaki miliki dadah di Selangau

Foto IPD Mukah

SELANGAU, 4 Ogos – Dua lelaki ditahan manakala dadah disyaki syabu dirampas dalam serbuan polis di atas Jambatan Sungai Nirai, Lebuh Raya Pan Borneo Sibu-Bintulu, Selangau pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Satu keratan tiub straw mengandungi ketulan kristal disyaki methamphetamine ditemui di bawah karpet tempat duduk penumpang hadapan.
  • Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif amphetamine dan methamphetamine.
  • Kedua-dua suspek direman dua hari dan disiasat mengikut Seksyen 12(2) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias memaklumkan, kedua-dua lelaki warga tempatan berusia 38 dan 21 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah kira-kira 11.30 pagi.

Ketika ditahan, kedua-dua lelaki tersebut berada dalam sebuah kereta yang berhenti di tepi jalan.

Hasil pemeriksaan menemukan satu keratan tiub straw lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu yang disembunyikan di bawah karpet tempat duduk penumpang hadapan.

Ujarnya, dadah yang dirampas dianggarkan seberat 0.35 gram.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana menggunakan dadah berbahaya.

Kedua-dua suspek direman selama dua hari hingga 6 Ogos bagi membantu siasatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.