SAR Desaru: Kawasan pencarian tiga remaja hilang diperluas

SAR tiga remaja hilang (foto kecil) sejak semalam di Pantai Tanjung Lompat, Kota Tinggi, Johor diteruskan hari ini/ RTM

KOTA TINGGI, 3 September- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga remaja yang hilang sejak semalam selepas dihanyutkan arus ketika mandi di Pantai Tanjung Lompat, Desaru, di sini, diperluas kepada dua batu nautika hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • 41 anggota pelbagai agensi digerakkan untuk operasi pencarian di laut dan darat, termasuk penggunaan dua unit dron.
  • Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat turut berkoordinasi dengan pihak berkuasa negara jiran jika mangsa dihanyutkan ke perairan luar.
  • Enam remaja umur 16 dilaporkan, dua diselamatkan, mayat satu ditemukan manakala tiga lagi masih hilang.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata seramai 41 anggota daripada pelbagai agensi digerakkan untuk operasi pencarian di laut dan darat, selain menggunakan dua unit dron.

“Untuk keluasan pencarian hari ini, kita tingkatkan daripada satu batu kepada dua batu nautika di kawasan Pantai Tanjung Lompat, termasuk kawasan Batak Lau, dengan penglibatan pelbagai agensi serta komuniti setempat.

“Keadaan air surut ketika kejadian dan dijangka mula pasang sekitar tengah hari. Kita khuatir mangsa mungkin mandi jauh dari pantai sehingga menyebabkan mereka dihanyutkan arus,” katanya.

Beliau berkata Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat (MRSC) turut berkoordinasi dengan pihak berkuasa negara jiran sekiranya terdapat kemungkinan mangsa dihanyutkan ke perairan luar.

Sementara itu, abang kepada salah seorang mangsa yang masih hilang, Muhammad Azril Haziq Kamal, 23, berkata keluarga kini reda dengan apa jua ketentuan, namun masih berharap jasad adiknya ditemukan segera.

“Ingatkan dalam satu dua jam dah boleh jumpa (mangsa). Tetapi, sudah lebih satu hari, jadi kami dah mula reda. Harapan keluarga sekarang ini hanya nak jumpa dia, tak kisahlah macam mana pun keadaannya,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri berkata pihaknya bersama beberapa agensi sentiasa memantau kebajikan keluarga mangsa sepanjang operasi SAR dijalankan.

Beliau berkata Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Musaldi turut meninjau keadaan keluarga mangsa yang berasal dari kawasan berkenaan.

Dalam kejadian semalam, enam remaja berusia 16 tahun dilaporkan lemas ketika mandi di pantai berkenaan, dengan dua daripadanya berjaya diselamatkan.

Mayat Mohd Thaqif Rayyan Romainoor ditemukan pada 1.25 tengah hari semalam, manakala tiga lagi masih hilang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.