Remaja parah dipukul rakan sebaya, empat suspek ditahan

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Seorang remaja lelaki cedera parah selepas dipercayai dipukul sekumpulan rakan sebaya dalam satu kejadian di Residensi PRIMA Alam Damai, Cheras, pada 5 Julai lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rakaman kejadian tular melalui WhatsApp dipercayai dirakam oleh salah seorang suspek.
  • Empat remaja lelaki tempatan berusia sekitar 14 tahun ditahan untuk membantu siasatan.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan; kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada ibu mangsa pada pukul 12.45 tengah malam, hari kejadian.

Menurut beliau, siasatan awal turut mengesan penularan satu rakaman video kejadian melalui aplikasi WhatsApp, yang dipercayai dirakam oleh salah seorang suspek.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras telah menahan empat remaja lelaki tempatan berusia sekitar 14 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik salah seorang suspek yang dipercayai digunakan untuk merakam insiden berkenaan.

Kesemua suspek telah direman bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.

Kertas siasatan kini sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.