
SHAH ALAM, 21 Julai – Polis tidak menolak kemungkinan wujud pengaruh komuniti atau kumpulan tertentu yang menjadi pendorong kepada tindakan seorang pelajar perempuan menikam rakannya dalam kejadian di sebuah sekolah di Banting, awal bulan ini.
- Polis menyiasat sama ada suspek dipengaruhi perbincangan kumpulan, termasuk melalui media sosial atau aplikasi pesanan.
- Seorang suspek berusia 14 tahun ditahan awal namun dibebaskan selepas didapati tiada kaitan.
- Polis jalankan siasatan dalaman terhadap penyebaran nota yang mengandungi senarai individu berkaitan kes.
- Mangsa dibenarkan keluar hospital pada 13 Julai dan kini menjalani proses pemulihan bersama keluarga di rumah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata siasatan kini tertumpu kepada mengenal pasti sama ada suspek dipengaruhi perbincangan dalam kumpulan tertentu, termasuk melalui platform media sosial atau aplikasi pesanan.
“Siasatan awal turut membawa kepada penahanan seorang suspek berusia 14 tahun, namun individu berkenaan telah dibebaskan selepas didapati tidak mempunyai kaitan dengan kes tersebut.
“Polis sedang meneliti kemungkinan wujud kumpulan atau komuniti yang menjadi faktor pendorong kepada tindakan suspek, termasuk interaksi dalam kumpulan sembang ‘group whatsapp’ yang boleh mempengaruhi keputusan dan tingkah laku,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Datuk Shazeli memaklumkan polis turut menjalankan siasatan dalaman berhubung penyebaran nota mengandungi senarai individu berkaitan kes itu di media sosial.
Katanya, dokumen berkenaan merupakan sebahagian daripada bahan ekshibit siasatan dan tidak sepatutnya didedahkan kepada umum.
Sementara itu, mangsa dilaporkan telah dibenarkan keluar dari hospital pada 13 Julai lalu dan kini sedang menjalani proses pemulihan bersama keluarga di kediamannya.