
CYBERJAYA, 21 Julai – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah melaksanakan sebanyak 7,105 operasi penguatkuasaan di seluruh negara sehingga 15 Julai lalu, selaras dengan penetapan tahun 2026 sebagai Tahun Penguatkuasaan.
- 41,596 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
- 1,127 majikan dikenakan tindakan kerana melindungi dan menggaji warga asing tanpa permit atau pas sah.
- Penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial meningkat ketara sejak 2023, dengan tangkapan ratusan hingga ribuan setiap tahun.
- JIM tidak akan berkompromi, akan menggandakan operasi dan terus memburu mereka yang menyalahgunakan dokumen imigresen.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, menerusi operasi tersebut, seramai 41,596 warga asing telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Beliau berkata, seramai 1,127 majikan turut dikenakan tindakan kerana melindungi serta menggaji warga asing tanpa permit kerja atau pas yang sah.
“Kalau dilihat daripada segi angka, ini menunjukkan peningkatan yang besar daripada segi tindakan penguatkuasaan.
“Sejak awal tahun, kita telah menetapkan hala tuju tahun ini sebagai Tahun Penguatkuasaan, dan kita akan menggandakan lagi tindakan-tindakan operasi serta penguatkuasaan terhadap mereka yang melanggar dan menyalahgunakan dokumen imigresen yang diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Hari Imigresen ke-104 bertemakan ‘Melakar Wajah Baharu Imigresen’, di sini hari ini.
Datuk Zakaria berkata, JIM turut memberi perhatian terhadap trend penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial yang menunjukkan peningkatan ketara sejak 2023.
Menurutnya, sebanyak 1,279 tangkapan direkodkan pada 2023, meningkat kepada 2,644 pada 2024 dan 2,630 tangkapan pada 2025, manakala 451 tangkapan direkodkan sehingga 15 Julai tahun ini.
Katanya, penyalahgunaan pas berkenaan berlaku apabila warga asing memasuki negara menggunakan Pas Lawatan Sosial atau pas pelancong, namun melakukan pekerjaan atau aktiviti ekonomi yang melanggar Akta Imigresen.
Pihaknya tidak akan berkompromi dan akan terus memburu individu yang menyalahgunakan pas berkenaan.