
SEREMBAN, 4 Mac – Seorang penyelia asrama sebuah sekolah, di sini direman lima hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM78,000.
- Penyelia asrama direman lima hari oleh SPRM berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah.
- Rasuah dipercayai diterima sekitar 2022 daripada pemilik syarikat kontraktor baik pulih.
- Kerja penyelenggaraan berkaitan dianggarkan bernilai kira-kira RM114,000.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, hukuman sehingga 20 tahun dan denda berat.
Perintah reman sehingga 8 Mac 2026 terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu dikeluarkan Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Khas Trafik Seremban.
Suspek ditahan kira-kira pukul 4.40 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2022 dengan meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang pemilik syarikat kontraktor baik pulih.
Ia dipercayai sebagai balasan untuk mendapatkan kerja-kerja penyelenggaraan asrama di tempat suspek bertugas.
Nilai keseluruhan kerja penyelenggaraan yang terlibat dianggarkan berjumlah kira-kira RM114,000.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.