Polis Kelantan, Thailand buru suspek tembak penternak lembu

Datuk Mohd Yusoff Mamat

TANAH MERAH, 23 April- Polis Kelantan dan pihak berkuasa Thailand sedang bekerjasama bagi menjejaki suspek utama kes tembak seorang penternak lembu di Felda Kemahang 1, di sini, yang dipercayai melarikan diri ke negara jiran, Isnin lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Empat individu ditahan bagi membantu siasatan kes tembakan terhadap penternak lembu.
  • Suspek utama sudah dikenal pasti tetapi masih belum ditangkap.
  • Kumpulan itu dipercayai sudah lama terlibat kegiatan mencuri lembu di Tanah Merah.
  • Mangsa, Mohd Khairul Amri, cedera terkena tembakan di dagu semasa rondaan awal pagi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata empat individu telah ditahan bagi membantu siasatan dan suspek utama dalam kes berkenaan sudah dikenal pasti identitinya.

Beliau berkata suspek utama berusia lingkungan 40-an, merupakan warganegara Malaysia dan masih bebas selepas dipercayai melarikan diri ke kawasan sempadan.

“Suspek utama telah dikenal pasti tetapi belum ditangkap dan dipercayai melarikan diri ke seberang.

“Kita juga mengenal pasti kumpulan ini yang dipercayai sudah lama terbabit dalam kegiatan mencuri lembu di Tanah Merah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seorang penternak lembu, Mohd Khairul Amri Ab Kadir, 43 tahun, cedera selepas terkena tembakan di bahagian dagu ketika melakukan rondaan bersama rakannya di Ladang Kemahang 1 kira-kira pukul 2.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 5.26 pagi selepas pengadu bersama rakannya melakukan rondaan di kawasan ladang sejak pukul 1.30 pagi.