PGA tahan lelaki bawa 120 batang kayu getah tanpa permit

Lelaki ditahan di Bukit Panau, Tanah Merah ketika membawa 120 batang kayu getah tanpa permit sah/Foto PGA Briged Tenggara

KUALA LUMPUR, 24 November – Seorang lelaki ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara selepas dikesan membawa 120 batang kayu getah pelbagai saiz tanpa permit berhampiran sebuah sekolah di Bukit Panau, Tanah Merah, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek berusia 28 tahun ditahan ketika memandu lori pada kira-kira 6.45 petang.
  • Pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan dokumen pemindahan kayu yang sah.
  • Kayu diperoleh daripada pekebun sekitar Kampung Bukit Panau untuk dihantar ke kilang kayu di Tanah Merah.
  • Lori dan kayu bernilai keseluruhan RM50,000 dirampas; kes disiasat mengikut Seksyen 68 Akta Perhutanan Negara 1984.

Suspek berusia 28 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6.45 petang yang turut membawa kayu tidak mengikut waktu yang ditetapkan Pejabat Hutan Negeri Kelantan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek ditahan ketika memandu sebuah lori yang membawa muatan kayu dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pemeriksaan di bahagian belakang lori menemukan 120 batang kayu getah pelbagai saiz, namun lelaki terbabit gagal mengemukakan dokumen pemindahan kayu yang sah.

“Siasatan awal mendapati suspek memperoleh kayu daripada pekebun sekitar Kampung Bukit Panau sebelum menghantarnya ke sebuah kilang kayu di Tanah Merah untuk diproses.

“Suspek menggunakan lori milik bapa saudaranya dan mengambil upah menjalankan kerja pemindahan kayu sejak kira-kira tujuh bulan lalu,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Lelaki ditahan di Bukit Panau, Tanah Merah ketika membawa 120 batang kayu getah tanpa permit sah/Foto PGA Briged Tenggara

PGA turut merampas lori berkenaan yang dianggarkan bernilai RM40,000 serta 120 batang kayu getah bernilai RM10,000.

Jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM50,000.

Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 68 Akta Perhutanan Negara 1984.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.