PGA tahan lima warga asing tanpa dokumen sah di Rantau Panjang

Lima warga asing yang ditahan dalam dua operasi berasingan di Rantau Panjang, Kelantan/Foto PGA Briged Tenggara

KUALA LUMPUR, 24 November – Lima warga asing ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara dalam dua operasi berasingan di Rantau Panjang selepas didapati tidak mempunyai cop kemasukan sah ke Malaysia, Ahad lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga wanita warga India ditahan ketika pemeriksaan kenderaan pengangkutan awam; mereka dipercayai masuk menggunakan bot dan mencari pekerjaan di Kuala Lumpur.
  • Dua lelaki warga Pakistan dan India ditahan di Stesen Bas Rantau Panjang selepas dipercayai masuk melalui pangkalan haram.
  • Kedua-dua lelaki dipercayai membayar RM1,500 kepada warga Thailand untuk menguruskan kemasukan, selain tambang bot RM10 menyeberangi Sungai Golok.
  • Kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang dan diserahkan kepada IPD Pasir Mas; kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Dalam operasi pertama kira-kira pukul 9 malam, anggota Sekatan Jalan Raya (SJR) menahan tiga wanita warga India ketika pemeriksaan sebuah kenderaan pengangkutan awam.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, ketiga-tiga wanita berusia 22 hingga 33 tahun itu gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang mempunyai cop kemasukan sah ke negara ini.

“Mereka dipercayai memasuki Malaysia menggunakan bot sebelum merancang mencari peluang pekerjaan di sekitar Kuala Lumpur,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Tambah beliau, kira-kira 30 minit kemudian, anggota PGA menahan dua lelaki warga Pakistan dan India dalam rondaan di Stesen Bas Rantau Panjang.

Kedua-dua lelaki berusia 23 dan 27 tahun itu turut gagal menunjukkan dokumen perjalanan dengan cop kemasukan sah ke Malaysia.

“Siasatan awal mendapati mereka dipercayai memasuki negara ini melalui pangkalan haram di sekitar Rantau Panjang selepas menetap di sebuah hotel di Golok, Thailand selama 10 hari,” katanya.

Lima warga asing yang ditahan dalam dua operasi berasingan di Rantau Panjang, Kelantan/Foto PGA Briged Tenggara

Katanya, kedua-dua lelaki terbabit dipercayai membayar RM1,500 kepada seorang lelaki warga Thailand bagi menguruskan kemasukan ke Malaysia, selain tambang bot sebanyak RM10 untuk menyeberangi Sungai Golok.

Seorang daripada lelaki terbabit dipercayai mahu bekerja sebagai mekanik kereta di Klang, Selangor, manakala seorang lagi pernah bekerja sebagai buruh binaan di Kuala Lumpur pada 2018.

Kesemua lima warga asing itu dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.