Peniaga rugi hampir RM316,000 terpedaya tender tidak wujud

Foto Hiasan

KUANTAN, 13 September – Seorang wanita yang menjalankan perniagaan kedai fotostat dan perkhidmatan berkaitan mesin pencetak mendakwa mengalami kerugian hampir RM316,000 selepas terpedaya dengan penipuan tender tidak wujud.

RINGKASAN BERITA AI
  • Individu melalui WhatsApp mengaku wakili PPD Kuala Kangsar meminta sebut harga lalu minta dua unit projektor.
  • Mangsa membuat bayaran bagi dua dan kemudian 35 projektor, menerima gambar bukti namun tidak diberi dokumen pendaftaran atau nombor TIN.
  • Apabila komunikasi terputus, mangsa melapor di IPD Raub; kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata mangsa berusia 52 tahun itu pada mulanya menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada seorang individu yang mendakwa mewakili Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Kangsar pada 1 September.

“Suspek meminta mangsa menyediakan sebut harga berkaitan pembekalan kertas soalan, namun pada 10 September individu itu sekali lagi menghubungi mangsa dan meminta mendapatkan dua unit projektor untuk dihantar ke PPD Kuala Kangsar.

“Memandangkan syarikat mangsa tidak mempunyai stok projektor, suspek telah memberikan nombor telefon seorang individu bagi urusan pembekalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa kemudiannya membuat pesanan dua unit projektor dan telah membuat bayaran ke dalam akaun bank yang diberikan sebelum individu itu menghantar gambar kononnya sebagai bukti barang berkenaan telah diterima oleh PPD Kuala Kangsar.

“Namun pada Jumaat, wanita itu sekali lagi menerima tempahan dan telah membuat beberapa transaksi bayaran bagi 35 projektor. Selepas itu, mangsa telah meminta pihak berkenaan mengemukakan dokumen pendaftaran syarikat dan nombor pendaftaran cukai (TIN), tetapi permintaan tersebut tidak dijawab.

“Semalam, mangsa sekali lagi menghubungi suspek dan hanya dimaklumkan bahawa tempahan sedang diproses untuk penghantaran sebelum wanita itu tidak lagi menerima sebarang maklumat berhubung tempahan tersebut dan gagal menghubungi individu berkenaan,” katanya.

Azry Akmar berkata mangsa kemudiannya menyedari telah menjadi mangsa penipuan dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub semalam dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.