
TERMERLOH, 18 Ogos – Mahkamah Majistret Temerloh hari ini, menetapkan 1 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes, seorang pemandu lori tangki minyak yang terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Temerloh-Triang, Jumaat lalu.
- Tertuduh, Nor Azlan Mahayuddin, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya menyebabkan kematian ibu dan anak.
- Kedua pertuduhan dibawa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan hukuman penjara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit.
- Mahkamah mengekalkan jaminan RM10,000 seorang penjamin; tertuduh diwakili YBGK dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya.
Terdahulu, Tertuduh, Nor Azlan Mahayuddin, 37 tahun, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama, atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang wanita dan anak lelakinya dalam kemalangan berkenaan,
Pengakuan itu dibuat selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Anis Adlina Abu Johan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu sebuah lori tangki secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39 tahun.
Manakala bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama sehingga menyebabkan kematian anak mangsa, Muhamad Fattah Aisy Naufal Saifulnizam, 12 tahun.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta 333.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun, serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amal Razi Alias, manakala tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mazieera Ra Sharifudin.
Peguam tertuduh memohon jaminan dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dan memberi jaminan akan hadir ke mahkamah pada tarikh yang ditetapkan.
Mahkamah kemudian mengekalkan jaminan sebanyak RM10,000, dengan seorang penjamin.
Tertuduh yang berasal dari Labu, Negeri Sembilan, sudah berkahwin dan mempunyai pendapatan RM3,000 sebulan selain mempunyai tanggungan termasuk isteri serta ibu dan bapanya.