KBS peruntuk lebih RM1 juta perkukuh sukan angkat berat

Dr Mohammed Taufiq Johari/ Fail Bernama

KUALA LUMPUR, 18 Ogos- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) memperuntukkan lebih RM1 juta bagi memperkukuh pembangunan sukan angkat berat negara susulan kejayaan skuad itu meraih tujuh pingat pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Naik taraf Pusat Latihan Angkat Berat Rompin sebagai Pusat Kecemerlangan dan lantik jurulatih sepenuh masa, fokus pembangunan atlet wanita.
  • Tambah kuota atlet Program Pelapis selepas SUKMA Selangor 2026 dan lantik pegawai kekuatan serta kecergasan sepenuh masa.
  • Perkukuh pencarian bakat, pembangunan jurulatih dan kerjasama dengan KPM untuk membangunkan angkat berat di sekolah serta MSSM.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata persetujuan itu dicapai hasil perbincangan lanjut antara MSN dan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) selepas perkara berkenaan dibincangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN pada 13 Ogos lalu.

Antara langkah yang dipersetujui ialah menaik taraf Pusat Latihan Angkat Berat Rompin, Pahang dengan cadangan menjadikannya Pusat Kecemerlangan Sukan Angkat Berat Kebangsaan, selain melantik jurulatih sepenuh masa dengan tumpuan kepada pembangunan atlet wanita.

“Pencapaian di Sukan Komanwel Glasgow 2026 membuktikan sukan angkat berat mempunyai potensi besar untuk terus berkembang dan melakar kejayaan.

“Bantuan dan penambahbaikan ini bukan sahaja sebagai penghargaan terhadap pencapaian semasa, tetapi juga pelaburan jangka panjang bagi membina ekosistem sukan angkat berat yang lebih kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Skuad angkat berat negara meraih lima pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa di Sukan Komanwel Glasgow 2026. (Dari kiri) Siti Aqilah Farhan Draman, Mohamad Syahmi Nor Ghazali, Muhammad Erry Hidayat, Mohamad Aniq Kasdan, Muhamad Aznil Bidin, Muhammad Hafizuddin Roslin dan Irene Jane Henry/ Bernama

Selain itu, kuota atlet di bawah Program Pelapis MSN akan ditambah selepas Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, manakala pegawai kekuatan dan kecergasan sepenuh masa akan dilantik untuk menyokong pembangunan fizikal serta prestasi atlet.

Pembangunan atlet wanita, pencarian bakat dan pembangunan jurulatih serta pegawai teknikal turut diberi perhatian termasuk menerusi penganjuran Kejohanan Bakat Angkat Berat dan pelaksanaan lebih banyak kursus kejurulatihan.

Kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) juga akan diperkukuh bagi membangunkan sukan angkat berat di peringkat sekolah termasuk usaha menjadikannya antara sukan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

Skuad angkat berat negara meraih lima emas, satu perak dan satu gangsa pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, sekali gus menjadi penyumbang pingat terbesar Kontinjen Malaysia pada temasya itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.