Sabah rangkul emas Lawn Bowls Men Triples, tewaskan Selangor 17-13

Foto RTM

KLANG, 18 Ogos – Sabah mencipta kejayaan bermakna apabila meraih pingat emas acara Lawn Bowls Men Triples selepas menewaskan tuan rumah Selangor 17-13 pada aksi final Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Muhammad Hafiz catat detik istimewa pada penampilan pertama sebagai pengurus dan jurulatih selepas tiga kali beraksi sebagai atlet.
  • Beliau menggunakan pengalaman sebagai pemain untuk membantu penyesuaian permainan dan fokus kepada kawalan jarak menghadapi tuan rumah.
  • Sabah masih beraksi dalam lima acara lagi dan kontinjen yakin mampu menambah koleksi pingat pada temasya ini.

Lebih manis, kejayaan itu menjadi detik istimewa buat jurulatih Sabah, Muhammad Hafiz Firdaus Mohd Affendy apabila beliau berjaya menyumbang emas dalam penampilan pertamanya sebagai pengurus dan jurulatih selepas tiga kali beraksi sebagai atlet pada temasya SUKMA sebelum ini.

Hafiz berkata, sebelum ini beliau pernah membantu Sabah meraih pingat perak sebagai pemain, namun kejayaan kali ini lebih bermakna apabila mampu menghadiahkan emas kepada negeri kelahirannya menerusi peranan berbeza.

“Gembira, terus terang saya katakan, ini merupakan penampilan pertama saya di SUKMA sebagai pengurus dan jurulatih. Sebelum ini, saya sudah beraksi dalam tiga edisi SUKMA sebagai pemain dan pernah menyumbangkan pingat perak kepada Sabah dalam acara ini.

“Namun, kali ini sebagai pengurus dan jurulatih, saya berjaya menghadiahkan pingat emas kepada negeri saya sendiri,” katanya selepas tamat perlawanan final Men Triples di Kompleks Tertutup Lawn Bowl Bayumas, di sini.

Menurut Hafiz, kejayaan itu hadir hasil keyakinan terhadap kemampuan pemain yang menunjukkan peningkatan prestasi sejak peringkat awal pertandingan.

Beliau berkata, pemain turut diingatkan bahawa mereka hanya selangkah lagi daripada emas selepas mempamerkan aksi meyakinkan pada perlawanan sehari sebelumnya.

Katanya, pengalaman sebagai pemain dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu anak buah menyesuaikan permainan dengan keadaan gelanggang, terutama ketika berdepan Selangor selaku tuan rumah.

“Selangor adalah tuan rumah. Saya berkongsi sedikit pengalaman tentang jarak dalam permainan ini.

“Kami fokus kepada kawalan jarak sahaja. Jika bermain dengan corak permainan biasa, mungkin sukar untuk menyaingi tuan rumah,” katanya.

Hafiz berkata, Sabah masih mempunyai lima lagi acara untuk dipertandingkan dan yakin kontinjen negeri itu mampu menambah koleksi pingat pada temasya kali ini.

“Persediaan memang sudah saya rancang dengan rapi. Apa pun, kita tunggu dan lihat, insya-Allah ada tambahan pingat lagi,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas kejayaan tersebut dan menyifatkannya sebagai permulaan positif buat Sabah dalam meneruskan baki saingan SUKMA Selangor 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.