RPN 2026–2035 perkukuh pembinaan anak bangsa

Gambar hiasan/Fail BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Reka bentuk pedagogi berasaskan teori pembelajaran yang memupuk pemikiran kritis, interaksi, dan penilaian autentik.
  • Pelaksanaan secara adil untuk mengurangkan jurang akses, sokongan kebajikan, dan modal budaya pelajar.
  • Tadbir urus perlu telus serta ukuran kejayaan yang jelas; supaya perubahan dapat menghasilkan pembelajaran bermakna, bukan sekadar struktur baharu.

Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 memperlihatkan satu hala tuju baharu iaitu pendidikan mahu digerakkan sebagai projek negara, merentas semua peringkat pendidikan.

Antara inti yang ditonjolkan ialah pengukuhan pembinaan bangsa melalui rombakan Subjek Mata Pelajaran Umum (MPU), penambahbaikan kebajikan pelajar (hostel), jaminan laluan untuk pelajar cemerlang, serta pengecualian yuran bagi pelajar Orang Kurang Upaya (OKU).

Selain itu pembaharuan penilaian pembelajaran secara berpusat, reformasi Sekolah Kebangsaan melalui “Sekolah Inspirasi”, pilihan masuk Darjah 1 seawal usia enam tahun secara sukarela, serta peluasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di sekolah.

Rombakan Mata Pelajaran Umum (MPU) yang akan diajar dalam Bahasa Melayu di universiti awam dan swasta, serta penekanan kepada perlembagaan dan sejarah Malaysia, boleh dibaca sebagai usaha memperkukuh literasi kewarganegaraan.

Langkah itu penting bagi membentuk generasi yang memahami institusi negara, hak dan tanggungjawab sebagai warganegara, selain menghayati sejarah sebagai memori kolektif. Kefahaman tersebut juga penting dalam membina daya tahan generasi muda terhadap pengaruh propaganda dan polarisasi.

Persoalannya bukan pada “apa” yang diajar, tetapi “bagaimana” ia diajar. Jika MPU dilaksana sebagai subjek hafalan, ia berisiko menjadi ritual akademik yang tidak menyentuh pemikiran.

Teori “konstruktivisme” mengingatkan bahawa pembelajaran berlaku melalui dialog, interaksi dan pembinaan makna.

MPU yang hidup sepatutnya mengajak pelajar menilai teks perlembagaan melalui kes-kes semasa, menilai sumber sejarah secara kritikal, dan membina hujah berasaskan bukti.

Banyak negara yang berjaya mengimbangkan identiti dan globalisasi mempraktikkan “dwibahasa akademik” bahasa kebangsaan diperkukuh untuk agenda warganegara dan budaya, manakala bahasa global dimanfaatkan untuk jaringan ilmu.

Hal ini wajar di bincangkan diperingkat nasional sebagai dokumen Pendidikan yang penting.

Tema “Hostel Pelajar Selesa”; sasaran 5,000 penginapan tambahan, yuran tidak membebankan, kerjasama universiti–syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dilihat menekankan hakikat bahawa pembelajaran memerlukan prasyarat material.

Dalam psikologi kognitif, tekanan kewangan dan ketidakstabilan tempat tinggal mengganggu perhatian, memori kerja dan motivasi, komponen asas keupayaan belajar.

Maka, penginapan yang munasabah ialah intervensi pedagogi secara tidak langsung. Ia menstabilkan kehidupan pelajar agar tenaga mental boleh difokuskan kepada pembelajaran, pembinaan sahsiah dan pengalaman kampus.

Peningkatan kuota penerima pendidikan percuma/biasiswa melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi keluarga miskin tegar (5,800 kepada 10,000) pula selari dengan agenda ekuiti.

Tetapi amalan “reproduksi sosial” mengingatkan bahawa jurang pendidikan tidak hanya dipacu wang; ia juga dipacu “modal budaya”: Cara belajar, literasi akademik, pendedahan dan jaringan sosial.

Pengecualian yuran bagi pelajar OKU (melibatkan 3,000 pelajar di IPTA, politeknik dan kolej komuniti) ialah langkah besar dari sudut keadilan sosial. Namun pendidikan inklusif sebenar menuntut lebih daripada pengecualian yuran.

Ia memerlukan reka bentuk kurikulum, penilaian dan persekitaran yang mesra kepelbagaian.

Jaminan tempat di Institut Pendidikan Awam (IPTA) untuk pelajar Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0, Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM), matrikulasi, asasi dan diploma) mengangkat logik merit.

Namun merit perlu dibaca bersama konteks bahawa adakah semua pelajar mempunyai peluang sama untuk mencapai PNGK 4.0, sedangkan persekitaran belajar, akses bimbingan dan kestabilan hidup tidak setara?

Penyelarasan Tingkatan Enam dan matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mulai 2027 pula cuba memperkemas transisi pra-universiti ke ijazah. Secara teori sistem, ini ialah usaha “pelarasan” hasil pembelajaran.

Namun penyelarasan struktur tidak semestinya menghasilkan penyelarasan pedagogi. Transisi yang lancar memerlukan “jambatan kemahiran” yang nyata: literasi akademik, literasi data, pemikiran kritis, komunikasi, dan etika akademik.

Penilaian pembelajaran baharu yang ditadbir secara berpusat oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), Tahun 4 mulai 2026 (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains) dan Tingkatan 3 mulai 2027 (tambahan Sejarah), menunjukkan kecenderungan standardisasi.

Ini sekali gus boleh meningkatkan ketelusan, tetapi juga berisiko menyempitkan kurikulum dan melahirkan budaya “pembelajaran peperiksaan”.

Dalam konsep “assessment for learning”, penilaian terbaik ialah yang memberi maklum balas formatif dan membina metakognisi murid.

Jika penilaian berpusat mahu berjaya tanpa mematikan kreativiti, ia perlu digandingkan dengan ruang penilaian bilik darjah yang autentik, projek, portfolio, pembentangan, agar sekolah tidak menjadi “kilang skor A”.

Pilihan masuk Darjah 1 seawal usia enam tahun secara sukarela menuntut kebijaksanaan psikologi perkembangan. Kesediaan sekolah bukan semata-mata umur, tetapi kematangan bahasa dan sosial-emosi.

Jika disertai saringan dan modul transisi, ia memberi pilihan yang bermanfaat; jika menjadi norma sosial baharu, ia boleh mencetus “perlumbaan awal” yang menambah tekanan kepada keluarga.

Akhirnya, peluasan TVET di sekolah rendah dan menengah dengan fokus teknologi dan digital berpotensi mengubah naratif bahawa kemahiran ialah “pilihan kedua”. Tetapi TVET bermakna memerlukan pedagogi projek, budaya mencipta, latihan guru, keselamatan bengkel, dan hubungan industri yang realistik.

Sesungguhnya RPN 2026–2035 membawa niat besar iaitu membina bangsa, memperluas akses, menyusun semula laluan dan mengangkat kemahiran.

Namun, kejayaan akan ditentukan oleh tiga perkara, reka bentuk pedagogi yang berasaskan teori pembelajaran, ekuiti pelaksanaan yang mengurangkan jurang, dan tadbir urus yang telus tentang ukuran kejayaan.

Soalan penting yang wajar terus dibincang secara ilmiah ialah: adakah perubahan ini akan menghasilkan pembelajaran yang lebih bermakna dan manusia yang lebih berdaya, atau sekadar menambah struktur baharu pada sistem lama?

Bersama kita fikirkan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Mohd Ekram Alhafis Hashim
Ketua Jabatan Multimedia Kreatif
Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif,
Universiti Pendidikan Sultan Idris
E-mel: ekram@fskik.upsi.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.