
MELAKA, 18 Ogos – Seorang pengarah syarikat percetakan direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan dokumen mengandungi butiran matan palsu membabitkan tuntutan pembayaran buku “coffee table” bernilai kira-kira RM100,000 melibatkan bekas pemimpin tertinggi negeri itu.
- Suspek ditahan kira-kira jam 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka.
- Siasatan awal mendapati kes membabitkan bekas pemimpin negeri pada tahun 2021.
- Dokumen tuntutan didakwa mengandungi butir matan palsu; perkhidmatan reka bentuk, percetakan dan pembekalan dikatakan tidak sempurna.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009; penahanan disahkan Pengarah SPRM Melaka Datuk Adi Supian Shafie.
Perintah reman terhadap lelaki berusia lingkungan 60-an itu yang bermula hari ini dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini.
Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira 8 malam semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Melaka.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut yang membabitkan bekas pemimpin tertinggi negeri itu pada tahun 2021.
“Suspek dipercayai bukan sahaja telah mengemukakan dokumen tuntutan pembayaran buku ‘coffee table’ yang mengandungi butir matan palsu berkaitan perkhidmatan mereka bentuk dan mencetak buku ‘coffee table’ tersebut, tetapi pembekalan yang dilakukan juga tidak sempurna,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Datuk Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – BERNAMA