
REMBAU, 19 Jun – Tiada unsur buli dikesan, setakat ini, berkaitan insiden seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut dipercayai terjatuh dari bangunan di sebuah sekolah menengah di Seremban, hari ini.
- KPM, JPNS, PPD dan pihak sekolah akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan yang sedang dijalankan.
- KPM menyediakan sokongan termasuk sokongan psikososial kepada keluarga, rakan sekelas dan guru terkesan.
- Masyarakat diminta tidak menularkan atau menyebarkan gambar serta rakaman insiden demi menghormati keluarga mangsa.
- Tiada petunjuk awal mengaitkan kejadian dengan unsur buli, siasatan lanjut diteruskan oleh pihak berkuasa.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, berkata pelajar tersebut juga dilaporkan berada dalam keadaan baik, selain tiada menunjukkan sebarang elemen luar biasa sebelum insiden berkenaan.
“Setakat ini tiada sebarang petunjuk yang mengaitkan kejadian tersebut dengan unsur buli, ketika saya berbual dengan ibu bapa arwah sebentar tadi.
“Mengikut apa yang dimaklumkan, arwah berada dalam keadaan baik seperti biasa ketika hadir ke sekolah pada pagi tadi,” katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga mangsa yang kini sedang menanti proses bedah siasat selesai di Hospital Rembau, di sini hari ini.

Tambah beliau, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak berkuasa.
“Di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kita menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca yang membawa kepada kemalangan ini.
“Pada masa sama, KPM bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Negeri Sembilan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seremban dan pihak sekolah akan memberikan segala bentuk sokongan yang diperlukan, termasuk sokongan psikososial kepada adik-beradik arwah, rakan-rakan sekelas serta guru-guru di sekolah berkenaan yang terkesan dengan kejadian ini.
“Saya juga berharap masyarakat dapat memberikan kerjasama dengan tidak menularkan atau menyebarluaskan gambar serta rakaman berkaitan insiden ini demi menghormati perasaan keluarga mangsa dan semua pihak yang terlibat,” katanya.
Terdahulu Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek serta Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun turut hadir bertemu keluarga mangsa, di Hospital Rembau.
Dalam kejadian, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran bangunan sebuah sekolah di Seremban, sebelum disahkan telah meninggal dunia.
Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, DCP Datuk Alzafny Ahmad, Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10.48 pagi.