Kes pelajar maut: PM gesa beri ruang kepada keluarga, elak sebar berita tidak sahih

Gambar Hiasan / FB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 19 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar perempuan yang meninggal dunia pagi tadi di sebuah sekolah menengah di Seremban, Negeri Sembilan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri meminta semua pihak memberi ruang kepada keluarga mangsa.
  • Kementerian Pendidikan menggerakkan bantuan dan sokongan kaunseling untuk keluarga dan warga sekolah terkesan.
  • PM menggesa elak sebarkan maklumat belum disahkan sementara polis jalankan siasatan kematian mengejut.

Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata beliau dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berdukacita menerima berita berkenaan.

“Saya dan Azizah mendoakan semoga roh anak ini dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.

“Saya memohon semua pihak untuk memberi ruang kepada keluarga,” menurut hantaran itu.

Jelasnya lagi, Kementerian Pendidikan sudah menggerakkan bantuan serta sokongan kaunseling yang diperlukan kepada keluarga dan warga sekolah yang terkesan.

Beliau turut menggesa orang ramai mengelak penyebaran maklumat yang belum dipastikan kesahihannya sementara polis menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

Terdahulu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengesah pihaknya menerima maklumat pada pukul 10.48 pagi berhubung pelajar tingkatan empat yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sekolah berkenaan.

Beliau berkata kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mendapatkan keterangan beberapa saksi serta laporan bedah siasat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.