240 rumah terjejas dalam kejadian ribut di Bercham

Hujan lebat berterusan berserta angin kencang menyebabkan pokok tumbang di beberapa kawasan./ APM

IPOH, 19 Jun – Sebanyak 240 rumah terjejas dalam kejadian ribut yang melanda kawasan Anjung Bercham di sini petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ribut dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan dan angin kencang lebih sejam.
  • Kawasan terjejas termasuk Hala Tasek Timur 1, Lorong Bercham 19 dan Dataran Tasek Timur 6.
  • Beberapa tiang elektrik tumbang, bekalan diputuskan sementara oleh Tenaga Nasional Berhad sebagai langkah keselamatan.
  • MBI dan APM menjalankan kerja pembersihan dan pemantauan, penduduk terkejut kerana kejadian berlaku sangat pantas.

Menurut laporan awal Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kinta, kejadian dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan berserta angin kencang selama lebih sejam.

Antara kawasan yang terjejas ialah Hala Tasek Timur 1, Lorong Bercham 19, Dataran Tasek Timur 6 serta beberapa laluan dan lintasan di Tasek Timur.

“Kejadian itu turut menyebabkan beberapa tiang elektrik tumbang di kawasan perumahan dan jalan raya.

“Bekalan elektrik di kawasan terjejas diputuskan sementara oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai langkah keselamatan,” menurut kenyataan itu lagi.

Kejadian turut menyebabkan beberapa tiang elektrik tumbang di kawasan perumahan dan jalan raya./ APM

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama APM kini menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pemantauan di lokasi terlibat.

Dalam perkembangan sama, penduduk memaklumkan, kejadian ribut yang melanda, pertama kali berlaku di kawasan tersebut.

“Isteri saya sedang memasak di bahagian belakang rumah ketika itu. Secara tiba-tiba angin kuat datang. Saya cuba menutup tingkap tapi angin terlalu kuat dan menolak semua (barangan) termasuk kerusi,” menurut seorang penduduk Dataran Tasek Timur 3, Minder Singh a/l Sadhu Singh kepada pemberita RTM.

Foto APM

Sementara itu seorang lagi penduduk, Wan Martina Mustafa berkata, kejadian berlaku dengan sangat pantas.

“Saya berada di dalam rumah. Manakala suami pada ketika itu berada di luar rumah, tiba-tiba menjerit memberitahu angin kuat melanda kawasan kami. Tiupan angin kencang berlalu selepas 5 minit kemudian. ketika kejadian, apabila saya buka pintu, angin terus masuk ke dalam. Anak dan cucu yang ketika itu berada di tingkat atas lari ke bawah kerana ketakutan. Kejadian memang berlaku dalam sekelip mata sahaja,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Yong Lai Yuen pula memaklumkan, terkejut dengan kejadian itu.

“Ada dua orang di dalam rumah (saya), saya pun tidak tahu dan terkejut, secara tiba-tiba angin bertiup kencang dari kiri dan kanan. Selepas itu, saya baru menyedari atap rumah sudah hilang diterbangkan angin ribut,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.