Kematian pelajar, JPNS beri kerjasama penuh bantu siasatan

Unit Forensik Hospital Rembau kini sedang menjalankan proses bedah siasat./ RTM

SEREMBAN, 19 Jun – Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) menzahirkan rasa dukacita atas kematian seorang pelajar di sebuah sekolah di negeri ini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pihak polis kini menyiasat kejadian; JPNS memberi kerjasama penuh bagi membantu siasatan.
  • Siasatan dalaman JPNS telah dimulakan untuk meneliti setiap aspek berkaitan insiden.
  • Keutamaan adalah menyalurkan bantuan kepada keluarga mangsa serta sokongan psikososial kepada warga sekolah.
  • JPNS mohon semua pihak hormati privasi keluarga, elak spekulasi; maklumat lanjut akan dikeluarkan kemudian.

Dalam satu kenyataan media, JPNS turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar berkenaan serta mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan keluarga diberikan ketabahan menghadapi ujian tersebut.

“Kejadian berkenaan kini dalam siasatan pihak polis. JPNS memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

“Siasatan dalaman juga telah dimulakan bagi meneliti setiap aspek berkaitan insiden tersebut.

“Keutamaan ketika ini adalah memastikan bantuan terbaik dapat disalurkan kepada keluarga mangsa selain menyediakan sokongan psikososial kepada warga sekolah yang terkesan,” menurut kenyataan itu lagi.

JPNS turut memohon semua pihak agar menghormati privasi dan sensitiviti keluarga sepanjang tempoh sukar ini serta mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Pihak polis dan JPNS dijangka mengeluarkan maklumat lanjut dari semasa ke semasa selepas siasatan selesai dijalankan.

Sementara itu, media turut dimaklumkan, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek akan hadir ke Hospital Rembau malam ini.

Terdahulu, Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban menerima maklumat mengenai insiden itu kira-kira pukul 10.48 pagi selepas mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sekolah berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.