Pelajar perempuan maut terjatuh bangunan di sebuah sekolah di Seremban

Ketua Polis Negeri Sembilan, DCP Datuk Alzafny Ahmad dalam satu kenyataan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian./ BERNAMA

SEREMBAN, 19 Jun – Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari bangunan di sebuah sekolah menengah di daerah Seremban pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban menerima maklumat kira-kira pukul 10.48 pagi selepas mangsa ditemui tidak sedarkan diri.
  • Sepasukan pegawai dan anggota polis digerakkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan serta tindakan lanjut.
  • Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian; mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat.
  • Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut; orang ramai diminta tidak membuat spekulasi dan tampil memberi maklumat.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, DCP Datuk Alzafny Ahmad, Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10.48 pagi selepas mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sekolah berkenaan.

“Sepasukan pegawai dan anggota polis telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan serta tindakan lanjut.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku di kawasan bangunan sekolah tersebut.

Polis turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian serta mengenal pasti beberapa individu untuk membantu siasatan.

Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut setakat ini, sementara menunggu laporan penuh bedah siasat.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan pihak polis.

Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban atau mana-mana balai polis berhampiran.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.