Azeem, Nur Aishah Rofina raja dan ratu pecut Terbuka Malaysia

Raja pecut Terbuka Malaysia 2026, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan ratu pecut Nur Aishah Rofina Aling / foto FB Olahraga Malaysia / Malaysia Athletics

SERDANG, 19 Jun – Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi menepati ramalan apabila berjaya memenangi emas 100 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2026 di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Azeem catat 10.21s walaupun masih keletihan selepas saingan NCAA, baru tiba di Malaysia kurang lima hari lalu.
  • Kemenangan Azeem menjadi suntikan keyakinan menjelang Kejohanan Asia Bawah 23 Tahun dan persiapan menuju Sukan Asia 2026.
  • Nur Aishah Rofina dinobat ratu pecut dengan 11.70s, rekod peribadi hasil pengalaman bertanding di luar negara.

Pada perlumbaan akhir yang berlangsung di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), pemegang rekod kebangsaan acara itu yang mewakili pasukan Perak menamatkan saingan dengan catatan masa 10.21 saat (s).

Tempat kedua dimenangi atlet Johor Muhammad Airiel Iskandar yang merekodkan 10.34s, manakala gangsa diraih wakil Terengganu Mohammad Armin Zahryl dengan catatan 10.43s.

Menurut Azeem, beliau tidak meletakkan sebarang sasaran catatan masa pada kejohanan tersebut berikutan keletihan selepas mengharungi saingan Kejohanan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Amerika Syarikat dan baru tiba di Malaysia pada Selasa lalu.

“Saya tidak menyasarkan catatan masa yang pantas hari ini kerana badan masih keletihan selepas menyertai NCAA. Saya juga baru tiba di Malaysia pada Selasa lalu, kurang lima hari selepas kejohanan itu berakhir.

“Namun, saya amat bersyukur kerana dapat berlari di hadapan penyokong sendiri. Sokongan yang diberikan oleh para peminat yang hadir hari ini benar-benar memberi semangat kepada saya,” katanya kepada media di sini.

Dalam pada itu, Azeem menyifatkan kemenangan tersebut sebagai suntikan keyakinan menjelang Kejohanan Asia Bawah 23 Tahun di China pada awal Julai depan.

“Kejohanan itu menjadi fokus utama saya selepas ini dan saya bertekad untuk memberikan aksi terbaik.

“Ia juga merupakan platform penting dalam persiapan menuju Sukan Asia 2026 dan, insya-Allah, saya berharap dapat meraih kedudukan di podium,” katanya.

Azeem turut memuji perkembangan sukan olahraga negara yang disifatkannya semakin berkembang dengan kemunculan ramai atlet muda berpotensi yang mampu menjadi pelapis pada masa hadapan.

Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi bergelar juara dengan catatan masa 10.21 saat / foto FB Olahraga Malaysia / Malaysia Athletics

Sementara itu, dalam acara 100 m wanita, pelari Sabah Nur Aishah Rofina Aling dinobatkan sebagai ratu pecut Terbuka Malaysia 2026 selepas memenangi acara berkenaan dengan catatan masa 11.70s.

Atlet Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira terpaksa akur di tempat kedua dengan catatan masa 11.710s manakala tempat ketiga dimenangi wakil pasukan Malaysia University Fatin Ilyana May Nayan 12.03s.

Bagi Nur Aishah Rofina, pengalaman beraksi di luar negara membantu meningkatkan prestasinya sebelum tampil cemerlang di kejohanan tersebut.

“Kejohanan sebelum ini boleh dikatakan sebagai persediaan untuk saya menguji prestasi diri. Jadi, saya dapat menilai kemampuan saya dan hari ini alhamdulillah saya berjaya melakukan persembahan yang baik.

“Saya juga mencatatkan rekod peribadi dan amat bersyukur atas pencapaian itu. Saya sudah memberikan yang terbaik dalam semua aspek,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.