Iran umum pengecualian caj Selat Hormuz

Selat Hormuz/ REUTERS

TEHRAN, 20 Jun – Iran mengumumkan pengecualian caj penggunaan Selat Hormuz sepanjang tempoh rundingan selama 60 hari menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan Amerika Syarikat (AS) minggu ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • PGSA mengkehendaki permohonan transit dikemukakan sekurang-kurangnya 48 jam sebelum tiba di Selat Hormuz.
  • Permohonan mesti dihantar eksklusif melalui laman web dan e-mel rasmi PGSA dengan maklumat hubungan yang sah.
  • Hanya kapal yang mematuhi syarat akan diberi kelulusan serta pemilik bertanggungjawab atas kegagalan mematuhi peraturan.
  • Kos keselamatan, perlindungan, alam sekitar dan keperluan insurans akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Iran.

Pihak Berkuasa Selat Teluk Parsi Iran (PGSA), badan yang bertanggungjawab mengawal trafik maritim di Selat Hormuz, mengumumkan prosedur baharu bagi kapal yang ingin menggunakan laluan strategik itu perlu mengemukakan permohonan sekurang-kurangnya 48 jam lebih awal.

Menerusi hantaran di platform media sosial X, PGSA memaklumkan hanya kapal yang mematuhi syarat ditetapkan akan diberikan kelulusan untuk melalui selat berkenaan dengan segera.

Menurut PGSA, permohonan transit perlu dikemukakan secara eksklusif menerusi laman sesawang dan alamat e-mel rasmi agensi itu serta disertakan maklumat hubungan yang sah dan boleh diakses.

Bagi mengelakkan kelewatan, kapal dikehendaki mengemukakan permohonan transit serta maklumat berkaitan sekurang-kurangnya 48 jam sebelum tiba di kawasan Selat Hormuz.

PGSA turut mengumumkan bahawa sepanjang tempoh 60 hari yang ditetapkan dalam memorandum persefahaman (MoU) damai yang baharu dimeterai antara Iran dan Amerika Syarikat (AS), kapal yang melalui Selat Hormuz akan dikecualikan daripada sebarang caj transit.

Kos berkaitan perkhidmatan keselamatan, perlindungan dan alam sekitar, termasuk keperluan insurans yang ditetapkan Iran, akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Iran.

Selain itu, kapal dikehendaki menyelaras lebih awal dengan pihak berkuasa Iran berhubung laluan serta waktu yang ditetapkan untuk melintasi Selat Hormuz.

PGSA menegaskan pemilik kapal akan bertanggungjawab terhadap sebarang kegagalan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran mengarahkan permohonan kapal untuk melalui Selat Hormuz diproses dengan segera selaras dengan MoU antara Iran dan AS.

Pada 28 Februari lalu, Israel dan AS melancarkan serangan ke atas Tehran serta beberapa bandar lain di Iran.

Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas Israel serta pangkalan dan aset AS di rantau Asia Barat, selain mengetatkan kawalan di Selat Hormuz dengan menghalang laluan bagi kapal milik atau berkaitan Israel dan AS.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.