
BEIRUT, 20 Jun – Pertempuran kembali tercetus di Lubnan pada Jumaat dengan pihak berkuasa melaporkan sekurang-kurangnya 47 orang terbunuh dalam serangan udara Israel di negara itu.
- Serangan udara Israel terus dilaporkan di selatan Lubnan walaupun wujud persetujuan gencatan senjata yang dimediasi.
- AS, Qatar dan Iran berperanan sebagai perantara dalam rundingan gencatan senjata; perbincangan susulan di Washington pada 23 hingga 25 Jun.
- Hezbollah lancarkan serangan balas; Presiden Lubnan dan Iran mengecam tindakan Israel sebagai peningkatan berbahaya dan ancaman perang berpanjangan.
Keganasan itu merupakan yang paling buruk sejak termeterainya perjanjian antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran bagi menghentikan perang lebih luas di Asia Barat, yang turut bertujuan menghentikan pertempuran antara Israel dan Hezbollah di Lubnan.
Agensi berita rasmi Lubnan, NNA turut melaporkan bahawa rejim Zionis melancarkan satu lagi serangan udara di kawasan Jezzine di selatan negara itu, sejurus selepas seorang pegawai AS memaklumkan Israel dan Hezbollah bersetuju melaksanakan gencatan senjata.
Menurut pegawai AS gencatan senjata tersebut dimediasi Amerika Syarikat dan Qatar selepas rundingan bersama Israel dan Iran, dengan seorang diplomat Teluk mengesahkan Qatar, AS dan Iran memainkan peranan sebagai perantara.
Meskipun terdapat usaha gencatan senjata, serangan masih berterusan dengan Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan sekurang-kurangnya 47 maut termasuk wanita dan kanak-kanak, serta 97 lagi cedera dalam serangan pada Jumaat.
Hezbollah turut mendakwa melancarkan serangan balas ke atas kedudukan tentera Israel di sekitar Nabatieh.
Presiden Lubnan, Joseph Aoun menyifatkan serangan terbaharu Israel sebagai satu peningkatan berbahaya, manakala Iran menganggap tindakan Israel itu seperti mahukan “perang berpanjangan”.
Amerika Syarikat pula memaklumkan rundingan susulan akan diteruskan di Washington dari 23 hingga 25 Jun bagi membincangkan usaha mencapai keamanan berkekalan di rantau berkenaan.- REUTERS