
CANBERRA, 20 Jun – Kerajaan Australia kini bersiap sedia melancarkan pelan tindak balas kecemasan kebangsaan selepas Perdana Menteri Anthony Albanese menyuarakan kebimbangan susulan pengesanan kes pertama selesema burung strain H5 di negara itu, yang dibawa oleh spesies burung liar yang berhijrah.
- Virus H5 disahkan pada seekor skua coklat; sampel petrel gergasi disyaki positif.
- Setakat ini tiada bukti kematian besar hidupan liar atau jangkitan pada ternakan ayam itik komersial.
- Strain H5 sebelum ini mencatatkan kematian tinggi pada burung dan mamalia termasuk lebih 13,000 anak gajah laut.
Menteri Pertanian, Julie Collins, dalam satu sidang media mengesahkan bahawa virus yang sangat berjangkit itu ditemui pada seekor burung skua coklat (brown skua) di kawasan pedalaman Australia Barat.
Keputusan ujian berkenaan telah disahkan oleh agensi sains kebangsaan negara itu.
Selain itu, sampel daripada seekor lagi burung yang sakit, iaitu petrel gergasi (giant petrel), turut menunjukkan keputusan susulan yang disyaki positif.
Sebelum penemuan berkenaan, Australia merupakan satu-satunya benua di dunia yang bebas daripada strain H5, iaitu varian selesema burung berbahaya yang mampu memusnahkan populasi ayam itik dan burung liar dengan pantas.
“Walaupun mengecewakan, perkara ini sememangnya sudah dijangka memandangkan penularan global selesema burung H5 ini. Kita semua tahu bahawa kita tidak akan bebas daripada selesema burung buat selama-lamanya,” kata Collins kepada wartawan di Canberra.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa setakat ini tiada bukti berlakunya kematian besar-besaran hidupan liar atau jangkitan pada mana-mana ternakan ayam itik komersial.
Satu mesyuarat tergempar melibatkan pegawai kesihatan haiwan dan pertanian telah diadakan bagi menyelaras respons di peringkat kebangsaan.
Sementara itu, Perdana Menteri Anthony Albanese menegaskan bahawa langkah-langkah kawalan ketat akan diambil bagi membendung penularan wabak tersebut.
“Ini adalah sesuatu yang berlaku melalui burung berhijrah, dan secara definisinya telah berlaku di seluruh dunia. Itulah sebabnya kami telah membuat persiapan awal untuk menghadapi situasi ini,” ujar Albanese.
Strain H5 sebelum ini telah mencetuskan impak buruk di peringkat global dengan mencatatkan kadar kematian yang tinggi bukan sahaja pada burung air, burung laut, dan burung pemangsa, malah turut menjangkiti mamalia seperti kucing, kambing, alpaka, babi, dan mamalia laut.
Khamis lalu, saintis Australia melaporkan strain yang sama telah mengorbankan lebih 13,000 anak gajah laut selepas menjangkiti sebuah koloni pembiakan di sebuah pulau gunung berapi sub-Antartika, yang merupakan salah satu wilayah luar negara berkenaan. – AFP