Runtuhan purba berusia lebih 1,400 tahun ditemukan di Mexico, dedah ciri unik Tamadun Maya

Foto AFP

COATEPEC, 20 Jun – Penemuan sebuah monolit purba yang menggambarkan ritual memohon “cecair suci” di Veracruz bukan sahaja merungkai misteri era kemarau besar zaman Klasik Awal, malah mendedahkan pengaruh budaya Maya yang belum pernah direkodkan di wilayah berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan Mexico akan memperuntukkan sumber khas untuk siasatan lanjut dan kerja pemulihan di tapak arkeologi.
  • Runtuhan pra-Hispanik di Campo Viejo berhampiran Coatepec dianggarkan dari zaman Klasik Awal antara 200 hingga 600 Masihi.
  • INAH mengesahkan platform batu bulat unik, diperbuat batu papak dan batu kapur, dengan garisan serta bentuk hampir segi empat tidak pernah direkodkan sebelum ini.

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum menyifatkan penemuan bersejarah itu sebagai “sangat relevan” dan mengumumkan bahawa pihak kerajaan akan memperuntukkan sumber khas bagi menjalankan siasatan lanjut serta kerja-kerja pemulihan di tapak berkenaan.

Runtuhan pra-Hispanik yang terletak di tapak Campo Viejo, berhampiran bandar Coatepec itu dianggarkan berasal dari zaman Klasik Awal antara tahun 200 dan 600 Masihi.

Antara struktur paling mencuri tumpuan di tapak tersebut termasuklah sebuah platform batu bulat diperbuat daripada batu papak dan batu kapur yang dihiasi dengan garisan serta bentuk hampir segi empat sama.

Institut Arkeologi dan Sejarah Kebangsaan (INAH) dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa ciri-ciri seni bina sedemikian rupa tidak pernah direkodkan di rantau berkenaan sebelum ini.

“Ia merupakan satu penemuan yang unik dan belum pernah terjadi sebelum ini. Kami tidak mempunyai sebarang rekod setakat ini yang menunjukkan kaitan dengan tapak (purba) yang lain,” kata pakar arkeologi INAH, Lino Espinoza Garcia dan Alberto Vazquez yang bertanggungjawab menyelaraskan tapak tersebut.

Selain platform batu yang unik, ahli arkeologi turut menemui sebuah monolit berketinggian 1.88 meter (6.16 kaki) dan selebar 1.47 meter (4.82 kaki) pada bahagian paling luas.

Mengulas mengenai ukiran pada monolit berkenaan, Espinoza menjelaskan ia memaparkan visual dua watak daripada golongan elit yang sedang memegang sebuah mangkuk untuk menerima cecair daripada entiti suci, yang dipercayai sebagai air.

“Pakar percaya imej itu mencerminkan era kemarau besar yang pernah melanda wilayah tersebut pada masa lalu.

“Ini sekali gus menjelaskan mengapa dua individu elit, dengan salah seorang daripada mereka memiliki ciri-ciri fizikal budaya Maya, digambarkan sedang memohon cecair suci berkenaan,” katanya. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.