Penduduk Lubnan ragu gencatan senjata, Israel masih lancar serangan

Rumah dan kedai pertukangan di perkampungan Al-Qlailah di daerah Tyre di selatan Lubnan musnah dalam serangan Israel/ AFP

BEIRUT, 20 Jun – Penduduk Lubnan yang berlindung di sebuah sekolah di Beirut meluahkan keraguan terhadap gencatan senjata yang diumumkan antara Hezbollah dan rejim Zionis Israel.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penduduk Lubnan meragui gencatan senjata kerana dakwaan Israel sering ingkar perjanjian sebelum ini.
  • Walaupun gencatan diumumkan bermula jam 4 petang, serangan udara Israel terus dilaporkan di beberapa kawasan sempadan.
  • Kementerian Kesihatan Lubnan lapor 3,912 terbunuh sejak 2 Mac, termasuk 47 maut sejak tengah malam.

Menurut seorang penduduk yang mendapatkan perlindungan di sekolah berkenaan, Abbas Abdallah, Israel didakwa sering gagal mematuhi perjanjian yang dipersetujui sebelum ini.

Menurut seorang pegawai Amerika Syarikat (AS),Hezbollah yang disokong Iran dan Israel bersetuju melaksanakan gencatan senjata bermula pukul 4 petang pada Jumaat.

Namun rejim Zionis terus melancarkan serangan di Lubnan seakan menguji perjanjian sementara antara AS dan Iran bagi menamatkan konflik yang lebih luas di Asia Barat.

Seorang pegawai kanan Israel dan dua sumber Hezbollah turut mengesahkan pelaksanaan gencatan senjata itu.

Bagaimanapun, hampir sejam selepas gencatan senjata berkuat kuasa, serangan udara Israel masih dapat dilihat di beberapa kawasan merentasi sempadan Lubnan, dengan kepulan asap dilaporkan naik dari sebuah perkampungan berhampiran sempadan.

Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan sekurang-kurangnya 47 orang terbunuh dalam serangan udara Israel sejak tengah malam, manakala Israel mengesahkan empat anggota tenteranya terbunuh di selatan Lubnan dalam antara serangan paling maut oleh Hezbollah sejak konflik tercetus.

Perjanjian antara AS dan Iran itu menetapkan semua pihak, termasuk sekutu masing-masing, menghentikan operasi ketenteraan secara serta-merta dan berkekalan di semua medan konflik termasuk di Lubnan.

Namun, keganasan kembali meningkat sepanjang minggu ini selepas keadaan pada awalnya dilihat reda susulan pengumuman perjanjian tersebut.

Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, seramai 3,912 orang terbunuh akibat serangan Israel sejak 2 Mac lalu, termasuk petugas perubatan, wanita dan kanak-kanak.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.