PDRM perhebat usaha banteras vape dadah

JSJN andang serius penularan penyalahgunaan vape yang dipercayai mengandungi dadah susulan beberapa video tular di media sosial – Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) memandang serius penularan penyalahgunaan vape yang dipercayai mengandungi dadah susulan beberapa video tular di media sosial sejak kebelakangan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beberapa individu dan pembekal vape disyaki mengandungi dadah ditahan; satu botol cecair vape disyaki ketamin dirampas.
  • JSJN bimbang trend penyalahgunaan vape dalam kalangan remaja boleh membawa kepada penyalahgunaan dadah lebih serius dan kesan buruk akhlak sosial.
  • Op Vape 1.0 periksa 1,670 premis, rampasan RM4.6 juta termasuk furanyl fentanyl; orang ramai diminta salurkan maklumat ke hotline 012-208 7222.

Pengarahnya, Datuk Hussein Omar Khan berkata, video berkenaan memaparkan individu berada dalam keadaan khayal dan melakukan aksi tidak senonoh sehingga menimbulkan kebimbangan masyarakat.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan – Foto PDRM

“Hasil tindakan pantas JSJN, beberapa individu termasuk pembekal vape disyaki mengandungi dadah berjaya ditahan di Selangor dan Johor Bahru.

“JSJN turut merampas satu botol berisi cecair vape disyaki ketamin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, JSJN turut bertindak terhadap satu video tular yang memaparkan dua lelaki menghisap vape sambil membuat siaran langsung di media sosial di Johor Bahru.

“Tiga lelaki tempatan termasuk dua individu dalam video berkenaan berjaya ditahan.

“Hasil soal siasat mendapati mereka mengaku membuat siaran langsung itu hanya bertujuan untuk mendapat hadiah daripada penonton,” katanya.

Trend penyalahgunaan vape terutama dalam kalangan remaja dilihat semakin membimbangkan kerana boleh menjadi gejala penyalahgunaan dadah yang lebih serius – Foto PDRM

Datuk Hussein menegaskan, trend penyalahgunaan vape terutama dalam kalangan remaja dilihat semakin membimbangkan kerana boleh menjadi gejala penyalahgunaan dadah yang lebih serius selain memberi kesan buruk terhadap akhlak dan sosial masyarakat.

Dalam pada itu, beliau berkata Op Vape 1.0 yang dijalankan bersama pelbagai agensi penguatkuasaan di seluruh negara menyaksikan sebanyak 1,670 premis diperiksa.

Operasi tersebut turut membawa kepada rampasan keseluruhan bernilai RM4.6 juta termasuk cecair vape disyaki mengandungi dadah sintetik jenis Furanyl Fentanyl.

“JSJN komited mempergiat operasi dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak terlibat dalam aktiviti pengedaran vape mengandungi bahan terlarang.

“Orang ramai digesa untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui Hotline JSJN di 012-208 7222,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.