
BERA, 29 April – Pasangan suami isteri warga Indonesia ditahan bersama selaras senapang angin dan dadah disyaki syabu dalam serbuan di sebuah rumah di Ladang Sawit Felda Purun malam Selasa.
- Op Taring Laras oleh Cawangan Risik Batalion 7 PGA Kuantan dijalankan sekitar 7.50 malam hasil maklumat risikan.
- Ujian saringan air kencing: lelaki positif methamphetamine manakala wanita didapati negatif.
- Pasangan warga Indonesia dari Lombok dipercayai masuk secara tidak sah; lelaki kerja buruh ladang, kes disiasat di bawah undang-undang berkaitan.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan Op Taring Laras itu hasil maklumat risikan oleh Cawangan Risik Batalion 7 PGA Kuantan kira-kira pukul 7.50 malam tadi.
Menurut beliau operasi di sebuah rumah tidak bernombor itu membawa kepada penahanan dua individu yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.
“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam dan sekitar rumah berkenaan membawa kepada rampasan satu laras senapang angin serta 1.9 gram dadah disyaki syabu dengan anggaran nilai keseluruhan RM1,080.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine manakala suspek wanita didapati negatif,” menurut hantaran Facebook di Briged Tenggara PGA, hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek adalah pasangan suami isteri warga Indonesia berasal dari Lombok dan menetap di kawasan Felda berkenaan sejak 2024 selepas dipercayai memasuki negara ini secara tidak sah melalui perairan Johor.
“Suspek lelaki dipercayai bekerja sebagai buruh ladang kelapa sawit dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan selain mendapatkan bekalan dadah daripada kenalan tempatan.
“Senapang angin yang dirampas pula dipercayai diperoleh daripada individu tempatan dan digunakan bagi tujuan memburu haiwan liar,” katanya.
Kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan kesalahan senjata api, dadah dan imigresen.