
JOHOR BAHRU, 29 April -Polis mengesahkan kejadian seorang lelaki berumur 40 tahun yang cedera parah dipercayai tertembak diri sendiri ketika menjalani latihan menembak di lapang sasar Ladang REM, Kota Tinggi pada 3.30 petang semalam.
- Mangsa disyaki tertembak sendiri ketika mengosongkan senjata selepas sesi latihan menembak.
- Mangsa memiliki lesen senjata api sah untuk tujuan keselamatan dan latihan menembak.
- Polis rakam keterangan sembilan individu, rampas dua pistol dan peluru, serta jalankan siasatan forensik dan ujian balistik.
Insiden dipercayai berlaku ketika mangsa sedang mengosongkan senjata api selepas selesai sesi latihan menembak.
Ketua Polis Johor, Datuk AB Rahaman Arsad berkata, semakan turut mendapati mangsa memiliki lesen senjata api yang sah bagi tujuan keselamatan dan latihan menembak.
Berhubung kejadian itu, seramai sembilan individu termasuk anak tiri mangsa berusia 19 tahun telah dipanggil bagi melengkapkan siasatan.
“Sembilan individu di tempat kejadian telah dirakam keterangan dan berdasarkan keterangan tersebut, disahkan mangsa tertembak dirinya sendiri ketika dalam proses mengosongkan peluru selepas latihan menembak.
“Bagaimanapun, beberapa proses siasatan masih diteruskan, termasuk siasatan forensik bagi meneliti kejadian tembakan tersebut serta ujian balistik,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini.
Polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk merampas dua pucuk pistol serta peluru yang digunakan semasa latihan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan.