
KUALA LUMPUR, 19 Mei – Kaukus Palestin Parlimen Malaysia mengecam tindakan rejim Israel yang didakwa memintas flotila kemanusiaan antarabangsa dalam misi ke Gaza, seterusnya menahan dan melakukan kekerasan terhadap aktivis termasuk rakyat Malaysia.
- Tindakan Israel merupakan pencabulan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia kerana menghalang bantuan kemanusiaan.
- Kaukus menuntut jaminan keselamatan dan pembebasan segera semua aktivis yang ditahan tanpa syarat.
- Akan membawa usul ke Parlimen untuk mengecam tindakan dan menzahirkan solidariti terhadap rakyat Palestin.
- Sokong usul tergempar mengesahkan Deklarasi Brussels untuk memperkukuh tekanan diplomatik dan ekonomi terhadap Israel.
Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh menegaskan, insiden itu merupakan pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa serta hak asasi manusia kerana menghalang usaha penghantaran bantuan kemanusiaan ke wilayah bergolak berkenaan.
“Tindakan ini bukan sahaja tidak berperikemanusiaan, malah dilihat cuba menyekat solidariti masyarakat antarabangsa terhadap rakyat Palestin yang terus berdepan krisis kemanusiaan di Gaza,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Kaukus Palestin Parlimen Malaysia menuntut jaminan keselamatan serta pembebasan segera semua aktivis yang ditahan tanpa syarat.
“Kami juga akan membawa usul ke Parlimen bagi mengecam tindakan tersebut serta menzahirkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin dan keselamatan aktivis kemanusiaan antarabangsa,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Syed Ibrahim berkata Kaukus Palestin Parlimen Malaysia menyokong usaha mengemukakan usul tergempar bagi mengesahkan Deklarasi Brussels yang melibatkan ahli Parlimen dari beberapa negara termasuk Malaysia, Turkiye, Sepanyol dan Kesatuan Eropah.
Langkah itu penting dalam memperkukuh tekanan diplomatik dan ekonomi terhadap Israel susulan dakwaan pelanggaran berterusan terhadap undang-undang antarabangsa.
Tegas beliau, masyarakat antarabangsa tidak boleh terus berdiam diri terhadap pencabulan hak kemanusiaan dan perlu bertindak mempertahankan prinsip keadilan sejagat serta solidariti global terhadap rakyat Palestin.
Setakat ini, Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby mendedahkan, sebanyak 15 kapal melibatkan 25 rakyat Malaysia dipintas dan ditahan tentera Zionis Israel.