
KUALA LUMPUR, 19 Mei – Dua lelaki dijatuhi hukuman denda RM1,300 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah membuang sampah kecil iaitu kayu palet dan puntung rokok di tempat awam, Januari lepas.
- Mahkamah memerintahkan pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat empat jam dalam tempoh sebulan bagi kesalahan membuang sampah.
- Kegagalan membayar denda boleh menyebabkan hukuman penjara satu bulan ditanggung tertuduh.
- SWCorp rekod 1,219 notis, 18 waran tangkap, penguatkuasaan berterusan; orang ramai boleh adu melalui WhatsApp atau SISPAA.
Hakim Siti Shakirah Mohtaruddin turut memerintahkan Ahmad Farhan Abdul Ghani, 35, dan Mohd Hafizi Mohd Raduan, 48, selaku Orang Kena Saman (OKS) melaksanakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) selama empat jam dalam tempoh sebulan.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Farhan, yang merupakan pekerja rangkaian kedai kopi didakwa membuang puntung rokok di tempat awam dan bukan di dalam bekas yang diperuntukkan di sebelah sebuah hotel di Bukit Bintang, dekat sini, pada 7.06 petang, 3 Januari lepas.
Mohd Hafizi, seorang peniaga buah-buahan pula didakwa membuang kayu palet dan sampah perniagaan di hadapan sebuah kedai di Jalan Ipoh, Pusat Bandar Utara Selayang pada 3.40 petang, 17 Januari lepas.
Pertuduhan bagi kedua-dua kesalahan tersebut dikemukakan mengikut subseksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 77A(2) dan boleh dikenakan perintah khidmat masyarakat di bawah subseksyen 77B(1) akta sama.
Kesalahan itu membawa hukuman denda maksimum RM2,000 dan perintah khidmat masyarakat tidak melebihi 12 jam secara agregat dalam tempoh tidak melebihi enam bulan dan selama bilangan jam tertentu setiap hari, tidak melebihi empat jam seperti yang dinyatakan dalam perintah tersebut.
Pegawai Pendakwa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wan Mohd Hardy Alias memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda berbentuk pengajaran serta perintah khidmat masyarakat terhadap kedua-dua tertuduh memandangkan mereka sihat dari segi fizikal dan mental untuk melaksanakannya.
Ahmad Farhan dan Mohd Hafizi yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda ringan atas alasan telah menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Khalid Mohamed ketika ditemui di luar mahkamah berkata SWCorp Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan 1,219 notis melibatkan kesalahan membuang sampah kecil setakat semalam melibatkan 659 warga tempatan dan 560 warga asing.
“SWCorp turut memantau kehadiran Orang Yang Disyaki (OYDS) ke prosiding mahkamah dan untuk rekod setakat semalam, sebanyak 18 waran tangkap telah direkodkan berikutan kegagalan OYDS menghadiri prosiding mahkamah yang telah ditetapkan.
“Daripada keseluruhan waran tangkap tersebut, seramai enam pesalah telah dijatuhkan hukuman melibatkan denda antara RM300 hingga RM1,000, hukuman penjara sekiranya gagal membayar denda serta pelaksanaan PKM antara empat hingga lapan jam dalam tempoh enam bulan,” katanya.
Beliau berkata SWCorp akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan berskala besar bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang kebersihan awam terus dipertingkatkan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan isu kebersihan boleh menyalurkannya menerusi talian WhatsApp 013-210 7472 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) untuk tindakan lanjut. – Bernama