
KUALA LUMPUR, 5 Julai – Tiga lelaki warga Indonesia ditahan dan sebanyak 76,367 kotak minuman keras tidak berkastam dirampas dalam serbuan Op Taring Alpha 2 di sebuah premis di Kuching, Sarawak pada 3 Julai lalu.
- Serbuan hasil risikan dan operasi susulan terhadap kegiatan penyeludupan dan pengedaran minuman keras tidak berkastam di Sarawak.
- JKDNKA merampas dua treler dan dua jentera semasa serbuan.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
- Sejak 1 Januari, 199 serbuan dijalankan, 374 individu ditahan; rampasan dianggarkan bernilai RM258.52 juta.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, CP Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mendedahkan, serbuan dilaksana hasil risikan dan operasi susulan berhubung kegiatan penyeludupan serta pengedaran minuman keras tidak berkastam di Sarawak.
“Kesemua suspek berusia lingkungan 35 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 2.15 petang. JKDNKA turut merampas dua treler dan dua jentera,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras, penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi serta apa-apa bentuk pelanggaran undang-undang yang menjejaskan kepentingan negara dan kesejahteraan masyarakat,” tegasnya.
Sejak 1 Januari lalu hingga setakat ini, sebanyak 199 serbuan bagi membanteras kegiatan berkenaan telah dijalankan di seluruh negara dan seramai 374 individu berjaya ditahan atas pelbagai kesalahan.
Ini termasuk penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar serta sisa elektronik, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM258.52 juta.