JIM tahan lelaki Bangladesh yang tular miliki dua pasport

Lelaki warga Bangladesh miliki dua pasport ditahan / Foto Jabatan Imigresen Malaysia

KUALA LUMPUR, 5 Julai – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki warga Bangladesh bagi membantu siasatan berhubung hantaran tular di media sosial yang memaparkan seorang individu memiliki dua pasport, dipercayai membabitkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dan pasport Bangladesh.

RINGKASAN BERITA AI
  • JIM Pahang bersama JPN Pahang tubuh pasukan petugas mengesan individu serta menyiasat kesahihan dakwaan.
  • Operasi serbuan kontena di Jalan Kuantan-Bandar Damansara membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Bangladesh.
  • Dua naskhah PMA tamat tempoh dan sebuah Buku Perkhidmatan Pelaut ditemui; JIM menyiasat pemilikan tanpa kebenaran dan penyalahgunaan dokumen.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, susulan hantaran berkenaan, JIM Pahang bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang menubuhkan satu pasukan petugas bagi mengesan individu terbabit serta menyiasat kesahihan dakwaan berkenaan.

Beliau berkata, hasil risikan dan operasi yang dijalankan petang semalam, sepasukan enam pegawai imigresen menyerbu sebuah kontena di Jalan Kuantan-Bandar Damansara, Kuantan, sebelum menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang berada di lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan dua naskhah PMA yang telah tamat tempoh sah laku masing-masing pada 25 April 2017 dan 25 Oktober 2022, selain sebuah Buku Perkhidmatan Pelaut milik seorang warganegara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, lelaki terbabit kemudian dibawa ke Pejabat Imigresen Kuantan bagi membantu siasatan.

Katanya, JIM kini sedang mengesan pemilik sebenar kedua-dua pasport serta Buku Perkhidmatan Pelaut berkenaan, selain menyiasat sama ada wujud unsur pemilikan tanpa kebenaran, penyalahgunaan dokumen perjalanan atau kesalahan lain di bawah undang-undang yang berkuat kuasa.

Datuk Zakaria berkata, JIM memandang serius setiap dakwaan berkaitan penyalahgunaan atau pemilikan dokumen perjalanan Malaysia dan mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.