Op Luxury 2.0: 42 kenderaan mewah disita di Kelantan

Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 19 Mei – 42 kenderaan mewah pelbagai model disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menerusi Op Luxury 2.0 yang dilaksanakan di seluruh negeri sejak 1 Januari lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi khas bertujuan pastikan pemilik kenderaan import dan mewah mematuhi undang-undang serta mengelak ketirisan hasil kerajaan.
  • Kesalahan utama: LKM tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, nombor perdagangan palsu dan pertukaran enjin tanpa kebenaran.
  • Beberapa pemilik hanya perbaharui insurans tetapi tidak memperbaharui cukai jalan; sesetengah kenderaan digunakan sejak 2020 walaupun tamat LKM dan insurans.
  • JPJ anggar ketirisan hasil lebih RM34,000 setahun; turut umum Ops Hari Raya Aidiladha bermula 24 hingga 31 Mei melibatkan 187 anggota.

Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah berkata operasi khas itu dijalankan bagi memastikan pemilik kenderaan import dan mewah mematuhi undang-undang jalan raya selain mengelak ketirisan hasil kerajaan.

Antara kesalahan utama dikesan ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh membabitkan 35 kes, tiada perlindungan insurans sebanyak 31 kes selain penggunaan nombor perdagangan palsu dan pertukaran enjin tanpa kebenaran.

Menurut beliau, ada pemilik hanya memperbaharui insurans tanpa memperbaharui cukai jalan, malah terdapat kenderaan yang masih digunakan walaupun LKM dan insurans tamat tempoh sejak tahun 2020.

“Antara model yang dikenakan tindakan termasuk Porsche 911 GT3, Porsche Panamera V6, Jeep Wrangler, Toyota Alphard, Toyota Vellfire, BMW 528i Limousine, Audi TTS dan Mercedes-Benz,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini.

Mengulas lanjut, Mohd Misuari berkata hasil operasi turut mendedahkan ketirisan hasil kerajaan dianggarkan lebih RM34,000 setahun membabitkan bayaran LKM semua kenderaan yang disita.

Dalam perkembangan lain, JPJ Kelantan akan melaksanakan Ops Hari Raya Aidiladha 2026 bermula 24 hingga 31 Mei melibatkan 187 anggota penguat kuasa dan 50 pasukan operasi di seluruh negeri.

Operasi memberi tumpuan kepada sembilan kesalahan utama termasuk memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan memotong di garisan berkembar bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan.

Dianggarkan lebih sejuta kenderaan dijangka masuk ke Kelantan sepanjang musim perayaan Aidiladha kali ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.