Op Cable Viral: Sembilan ditahan, tiga lagi diburu

Antara barang rampasan hasil Op Cable Viral.

SHAH ALAM, 2 Mac – Sembilan warga tempatan diberkas selepas dipercayai terbabit dalam kes mencuri kabel di Seksyen 3, di sini dua minggu lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Op Cable Viral menyelesaikan beberapa kes kecurian kabel di pelbagai lokasi termasuk Jinjang, Kupang dan Padang Serai.
  • Ramai suspek mempunyai rekod jenayah; tujuh positif dadah mengikut ujian saringan air kencing.
  • Tiga lagi lelaki masih diburu; rampasan termasuk kenderaan, kabel dan pemotong kabel.

Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar, penahanan menerusi Op Cable Viral itu sekali gus berjaya menyelesaikan kes serupa yang dilaporkan di Jinjang, Kuala Lumpur serta Kupang dan Padang Serai, Kedah.

“Kesemua suspek berusia antara 19 hingga 44 tahun ini diberkas dalam serbuan berasingan di Dengkil, Selangor; Sungai Petani, Kedah; serta Ipoh, Perak dari 23 hingga 26 Februari,” jelasnya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, di sini.

Beliau memberitahu, semakan mendapati sebahagian besar daripada suspek mempunyai pelbagai rekod lampau membabitkan kes curi, samun dan penyalahgunaan dadah.

Dua daripada mereka juga berada dalam senarai orang dikehendaki bagi kes di Subang dan Perak.

Menurut Datuk Shazeli, sindiket didapati menggunakan kelengkapan penyamaran seperti ves dan baju berlogo syarikat telekomunikasi serta topi keselamatan.

“Ujian saringan air kencing mendapati tujuh suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan THC. Kesemua suspek akan dituduh di mahkamah pada 3 Mac, bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan,” jelasnya sambil antara rampasan dibuat termasuk tiga kenderaan, 12 batang kabel dan pemotong kabel.

Polis kini sedang giat mengesan tiga lagi lelaki warga tempatan berumur antara 29 hingga 42 tahun bagi membantu siasatan.