
GEORGE TOWN, 2 Mac – Seramai 63 individu dipanggil untuk dirakam keterangan berhubung isu salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam urusan pembelian tanah dan penyalahgunaan dana wang zakat.
- SPRM memanggil 63 individu untuk dirakam keterangan berkaitan salah guna kuasa dan dana zakat.
- Antara yang dipanggil termasuk ahli Majlis Agama, mufti, setiausaha kerajaan, pegawai kewangan dan pegawai zakat.
- Siasatan mendapati pembelian tiga lot tanah bernilai kira-kira RM10 juta melibatkan pegawai kanan dan ahli Majlis Agama.
- Suspek disyaki menyalahgunakan dana zakat sekitar RM184,000 untuk bayaran baki pinjaman perumahan asnaf.
Antara individu yang dipanggil termasuk ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Mufti, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan, Penasihat Undang-Undang serta pegawai dan kakitangan agensi berkenaan. SPRM turut memanggil Ahli Lembaga Zakat, pegawai serta kakitangan zakat Pulau Pinang.
Siasatan awal mendapati suspek utama yang merupakan pegawai kanan kerajaan negeri bersama seorang ahli Majlis Agama Islam Negeri dipercayai menggunakan kedudukan masing-masing untuk mencadangkan dan meluluskan pembelian tiga lot tanah dengan harga kira-kira RM10 juta.
Bagi kes kedua, suspek utama bersama Pengurus Besar Agihan Zakat negeri disyaki menyalahgunakan dana wang zakat melalui Skim Inapan Kasih dan Bantuan Kewangan berjumlah kira-kira RM184,000 bagi bayaran penyelesaian baki pinjaman perumahan seorang asnaf tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.
Hujung Januari lalu, SPRM Pulau Pinang telah membuka kertas siasatan berhubung salah guna kuasa pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat, susulan pendedahan yang dibuat oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri dalam persidangan negeri hujung tahun lalu.
Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Karunanithy Y. Subbiah mengesahkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.