Maritim Perak tahan bot pukat tunda atas pelbagai kesalahan

FOTO MARITIM MALAYSIA

LUMUT, 2 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan sebuah bot pukat tunda selepas disyaki melakukan pelbagai kesalahan dalam operasi Op Pintas 1/2021 dan Op Khas Pagar Laut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bot pukat tunda ditahan dalam operasi Op Pintas 1/2021 dan Op Khas Pagar Laut kerana pelbagai kesalahan.
  • Pemeriksaan mendapati pelanggaran Akta Perikanan, penggunaan kru warga asing, dan tiada buku lesen semasa pemeriksaan.
  • Vesel dan kru diserahkan kepada Polis Marin dan pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak untuk tindakan lanjut.

Penahanan dibuat kira-kira 1.56 batu nautika barat laut Sungai Tiang pada pukul 4.17 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Mohamad Shukri Khotob berkata, pemeriksaan mendapati vesel disyaki melanggar Akta Perikanan 1985 kerana memukat kurang daripada lima batu nautika dari pantai.

“Kapal terbabit tidak diusahakan sendiri oleh pemegang lesen, menggunakan kru warga asing serta gagal mengemukakan buku lesen semasa pemeriksaan dijalankan.Terdapat juga kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 apabila kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Jelas Mohamad Shukri lagi, bot pukat tunda Kelas B itu dikendalikan seorang tekong warga Indonesia dan seorang awak-awak warga Myanmar. Bot dan kru kemudiannya diiring masuk ke Polis Marin Malaysia (PPM) Jeti Kampung Acheh sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia menegaskan akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang, sekali gus memastikan keselamatan, kedaulatan dan sumber perikanan negara terpelihara.