
KUANTAN, 2 MAC – Seorang lelaki yang dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika sedang menjaring ikan di Sungai Belat, Kampung Belukar di sini, ditemukan lemas hari ini.
- Ditemui lemas berhampiran lokasi dipercayai terjatuh kira-kira 12.15 tengah hari.
- Siasatan awal tiada unsur jenayah; dipercayai diserang sawan sebelum terjatuh ke sungai.
- Mayat dihantar ke HTAA untuk bedah siasat; kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mangsa, Mohd Firdaus Rahmat, 43, ditemukan kira-kira 12.15 tengah hari, berhampiran lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian tersebut.
“Mangsa dipercayai diserang sawan dan terjatuh ke dalam sungai.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Terdahulu, pihak polis menerima panggilan telefon daripada orang awam mengenai kejadian itu pada 7.29 malam, semalam.
Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari bot ke dalam sungai berkenaan kira-kira 2.30 petang ketika turun untuk mengambil lukah.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada 8 pagi tadi melibatkan lima pegawai dan 41 anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).