Pengawal keselamatan mengaku bersalah 13 pertuduhan amang seksual

Mahkamah menetapkan Rabu ini untuk keputusan kes/RTM Johor

JOHOR BAHRU, 2 Mac – Seorang pengawal keselamatan sekolah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas 13 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal, penganiayaan seksual, meliwat serta merogol anak perempuan berumur enam tahun, pada Januari dan Februari lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tertuduh, 43 tahun, mengaku bersalah atas 13 tuduhan berkaitan amang seksual dan penderaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan.
  • Kejadian berlaku di sebuah rumah setinggan pada beberapa tarikh antara Januari dan Februari lalu.
  • Tiada jaminan; mahkamah menetapkan Rabu ini untuk menjatuhkan hukuman.
  • Kekasih tertuduh juga didakwa, mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM8,000.

Pengakuan dibuat tertuduh, 43 tahun di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah setinggan di daerah itu, pada 22 dan 23 Januari, serta 14, 16, 17 Februari.

Tiada jaminan diberikan dan Hakim Mohd Zamir menetapkan Rabu ini, sebagai tarikh jatuh hukum.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Wahida Shahudin, dan S. Manushri mengikut Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Kanun Keseksaan.

Sementara itu dalam kamar lain, kekasih tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan, menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak itu, di lokasi sama, pada bulan lalu.

Hakim Datuk Kamal Ariffin Ismail, membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan menetapkan kes disebut semula pada 2 April.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Afdalan Syafiq Azmi mengikut Akta Kanak–Kanak 2001.