Video lama pijak al-Quran kembali tular, MCMC ambil tindakan

Foto MCMC


CYBERJAYA, 2 Mac –
Video lama memaparkan kandungan berunsur penghinaan terhadap agama Islam termasuk perbuatan memijak al-Quran kembali tular di media sosial.

RINGKASAN BERITA AI
  • MCMC ambil tindakan terhadap penularan semula video lama memaparkan perbuatan memijak al-Quran yang tular di media sosial.
  • MCMC terima aduan orang awam kerana kandungan itu mencetuskan kegusaran dan ketegangan dalam masyarakat.
  • Bekerjasama dengan platform seperti Threads, Facebook dan TikTok untuk menyekat penyebaran serta akses di Malaysia.
  • Orang ramai dinasihatkan tidak berkongsi kandungan itu dan boleh buat aduan kepada MCMC atau PDRM.

Susulan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengambil tindakan terhadap penularan semula satu video lama tahun 2024 itu yang melibatkan insiden di Singapura oleh seorang warganya.

MCMC berkata pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung kandungan berkenaan yang dipercayai dimuat naik semula sehingga mencetuskan kegusaran serta ketegangan dalam kalangan masyarakat.

“MCMC sedang bekerjasama dengan platform media sosial termasuk Threads, Facebook dan TikTok bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil.

“Ini termasuk menyekat penyebaran serta akses terhadap kandungan berkenaan di Malaysia,’ menurut kenyataan itu pada Isnin.

MCMC menegaskan penyebaran kandungan yang menyentuh sensitiviti agama serta berpotensi menggugat keharmonian masyarakat majmuk adalah tidak bertanggungjawab boleh dikenakan tindakan undang-undang selaras dengan peruntukan berkuat kuasa.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan semula kandungan tersebut.

Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada MCMC melalui pautan https://aduan.mcmc.gov.my atau kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.