
DUNGUN, 20 Jun – Seorang warga emas, 79, cedera parah dipercayai dipukul cucu lelakinya dengan menggunakan sebatang penukul di sebuah rumah di sini, petang semalam.
- Suspek dilaporkan OKU dan tinggal bersama mangsa di rumah berkenaan.
- Kejadian tercetus apabila suspek cuba keluar dari rumah dan dihalang, menyebabkan pertengkaran.
- Mangsa dipukul menggunakan sebatang penukul besi, mengalami kecederaan pada kepala dan dirawat di hospital.
- Polis menahan suspek, merampas penukul besi dan menyiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.55 petang itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala selepas diserang suspek, 25, yang juga orang kurang upaya (OKU).
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurut beliau, ketika kejadian suspek yang mempunyai masalah mental dikatakan tinggal di rumah berkenaan bersama warga emas itu.
“Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku apabila suspek dipercayai cuba keluar dari rumah sebelum tindakannya dihalang oleh mangsa.
“Keadaan itu dipercayai telah mencetuskan kemarahannya dan berlaku pertengkaran sebelum mangsa ditolak dan kemudiannya dipukul menggunakan sebatang penukul besi. Seorang jiran yang menyedari kejadian itu segera bergegas ke rumah berkenaan.,” katanya.
Polis berjaya menahan suspek untuk membantu siasatan dan turut merampas sebatang penukul besi yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Mangsa telah dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Dungun untuk menerima rawatan dan sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederan parah menggunakan senjata dan benda berbahaya.