
SUNGAI PETANI, 8 Jun – Mahkamah Majistret Sungai Petani menolak permohonan reman terhadap seorang pemandu lori yang terbabit dalam nahas yang mengorbankan enam nyawa di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani, Kedah, petang semalam.
- Kemalangan antara Proton X50 dan lori muatan tanah menyebabkan enam maut termasuk bayi enam bulan, seorang kanak-kanak tiga tahun cedera parah.
- Pemandu ditahan sejurus selepas kejadian dan hasil ujian air kencing didapati negatif dadah.
- Pemandu mempunyai lesen memandu sah manakala kelajuan lori dilaporkan 60 kilometer sejam semasa kemalangan.
- Polis menyiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Puspakom menjalankan pemeriksaan menyeluruh.
Permohonan reman terhadap lelaki berusia 49 tahun itu ditolak oleh Majistret Mohamad Azlan Basri pagi tadi.
Lelaki berkenaan ditahan sejurus selepas kejadian kemalangan, petang semalam.
Siasatan kes kemalangan tersebut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Semalam, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah memaklumkan semakan mendapati lelaki tersebut mempunyai tujuh saman, termasuk empat yang masih belum diselesaikan.
Namun ketika kejadian, pemandu berkenaan mempunyai lesen memandu yang sah dan kelajuan lori semasa kejadian hanyalah 60 kilometer sejam.
Hasil ujian saringan air kencing terhadap pemandu itu pula didapati negatif dadah.
Bagaimanapun Datuk Adzli berkata, polis sedang menyiasat semua aspek bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan yang mengorbankan enam nyawa itu.
Pemeriksaan menyeluruh turut membabitkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Dalam kejadian tersebut, kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 yang dinaiki mangsa yang baharu diambil dari pusat jualan beberapa jam sebelum kejadian, dalam perjalanan dari arah Pinang Tunggal menghala ke Bandar Sungai Petani.
Bagaimanapun ketika tiba di tempat kejadian, kereta terbabit bertembung dengan sebuah lori yang membawa muatan tanah yang datang dari arah bertentangan.
Rempuhan tersebut menyebabkan enam mangsa termasuk bayi berusia enam bulan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi kanak-kanak berusia 3 tahun, cedera parah.