
PARIS, 18 Jun — Amerika Syarikat (AS) dan Iran dilapor telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) secara elektronik bagi menamatkan perang di Asia Barat.
- Pegawai White House mengesahkan laporan Axios bahawa MoU itu didakwa ditandatangani lebih awal daripada jadual.
- Axios melaporkan Presiden Trump menandatangani MoU semasa majlis makan malam dengan Presiden Macron di Istana Versailles.
- Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baghaei memaklumkan MoU dimuktamadkan selepas ditandatangani kedua pihak.
- MoU itu bertujuan menamatkan perang di semua medan termasuk Lubnan dan membuka semula Selat Hormuz untuk perdagangan tenaga.
Perkara itu disahkan seorang pegawai White House kepada AFP pada Rabu ketika ditanya berhubung laporan portal berita digital AS, Axios yang mendakwa MoU itu sudah ditandatangani lebih awal daripada jadual asal.
Terdahulu, Axios melaporkan Presiden AS, Donald Trump menandatangani MoU tersebut pada majlis makan malam bersama Presiden Perancis Emmanuel Macron di Istana Versailles selepas Sidang Kemuncak Negara Kumpulan Tujuh (G7).
Sementara itu, Press TV berpangkalan di Tehran yang memetik kenyataan Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei melaporkan, MoU telah dimuktamadkan secara rasmi selepas ditandatangani kedua-dua pihak.
Sebelum ini, AS dan Iran dilapor akan menandatangani MoU tersebut di Switzerland pada Jumaat.
Menurut Baghaei, mesyuarat yang dirancang di Switzerland itu bukan bertujuan untuk menandatangani perjanjian tersebut, namun keputusan sama ada ia akan diteruskan dijangka diketahui dalam masa terdekat.
Jelasnya lagi, kehadiran pasukan perunding di Geneva masih kekal seperti yang dirancang.
MoU yang disepakati Washington-Tehran bertujuan menamatkan perang di semua medan termasuk Lubnan, selain membuka semula Selat Hormuz yang menjadi laluan penting perdagangan dan bekalan tenaga global. – AFP