Mahkamah Rayuan kurangkan hukuman penjara guru sekolah agama GISBH kepada lima tahun

Foto hiasan/ Bernama

PUTRAJAYA, 7 Januari – Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan tempoh hukuman penjara seorang guru sekolah agama milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) daripada 10 tahun kepada lima tahun atas kesalahan menganiaya tiga kanak-kanak lelaki dengan merotan dan menekan dada mangsa menggunakan lutut, dua tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mahkamah Rayuan kurangkan hukuman penjara guru GISBH dari 10 tahun kepada lima tahun.
  • Sabitan bersalah dikekalkan terhadap Muhammad Barur Rahim atas penganiayaan tiga kanak-kanak.
  • Kes melibatkan rotan dan tekanan dada menggunakan lutut di dua sekolah milik GISBH.
  • Tertuduh mendakwa tidak diwakili peguam semasa membuat pengakuan bersalah sebelum ini.
  • Perbuatan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, hukuman maksimum 20 tahun.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah membenarkan rayuan Muhammad Barur Rahim Hisam, 25 tahun untuk mengurangkan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Klang, Selangor pada 2024.

Ketika menyampaikan keputusan penghakiman, Datuk Azman berkata mahkamah turut mengekalkan sabitan bersalah terhadap guru agama berkenaan atas pertuduhan menganiaya tiga kanak-kanak lelaki tersebut selepas mendapati tiada prejudis dalam kes tersebut.

“Pengakuan Muhammad Barur Rahim ketika itu adalah selamat dan dia turut ditanya adakah dia memahami pertuduhan yang telah dibacakan terhadapnya ketika itu. Tertuduh juga telah diterangkan mengenai sifat dan akibat pengakuan salah semasa pertuduhan dibacakan terhadapnya,” katanya.

Muhammad Barur Rahim mengemukakan rayuan untuk mengetepikan akuan bersalahnya di Mahkamah Sesyen sebelum ini selepas mendakwa dia tidak diwakili peguam semasa pengakuan salah tersebut dibuat.

Pada 2024, Muhammad Barur Rahim Hisam dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun kerana menganiaya tiga kanak-kanak lelaki dengan merotan dan menekan dada mangsa menggunakan lututnya di dua sekolah milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Hakim Noridah Adam menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik sahaja empat pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Perbuatan tersebut dilakukan di dua premis termasuk sebuah sekolah agama di sekitar Bukit Raja, Klang Utara, Selangor antara Jun, Julai dan September 2024.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.