Mahkamah benar tangguh bayaran ganti rugi Kes Raymond Koh

Gambar Fail

KUALA LUMPUR, 26 Januari – Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah pembayaran ganti rugi melebihi RM37 juta kepada keluarga Pastor Raymond Koh, sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mahkamah Tinggi benarkan penangguhan pembayaran ganti rugi melebihi RM37 juta sementara menunggu keputusan rayuan.
  • Hakim nyatakan pembayaran dana awam tertakluk kepada peraturan, kawalan perakaunan dan audit yang ketat.
  • Keputusan ganti rugi asal untuk keluarga Raymond Koh dicabar oleh Jabatan Peguam Negara melalui rayuan.

Hakim Mahazan Mat Taib memutuskan wujud keadaan khas yang membolehkan penangguhan tersebut, dengan mengambil kira bahawa penyaluran dana awam, walaupun telah diluluskan, tertakluk kepada peraturan serta prosedur kewangan kerajaan yang ketat.

Menurut beliau, sebarang pembayaran melibatkan wang awam perlu melalui pelbagai lapisan kawalan perakaunan dan audit, justeru tidak boleh dilaksanakan seperti urus niaga persendirian.

Sehubungan itu, mahkamah mengiktiraf bahawa dari sudut praktikal, pembayaran berkenaan bersifat luar biasa dan rumit dari segi pentadbiran, sekali gus mewajarkan pengekalan status quo sementara menunggu keputusan rayuan.

Terdahulu, pada 5 November tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Tiang Joo memutuskan memihak kepada keluarga Koh dan isterinya, Susanna Liew Sow Yoke, selepas mendapati pihak polis dan kerajaan bertanggungjawab atas kehilangan Koh, serta mengarahkan pembayaran ganti rugi melebihi RM37 juta.

Bagaimanapun, keputusan itu dicabar apabila Jabatan Peguam Negara memfailkan notis rayuan pada keesokan harinya.

Susanna Liew sebelum ini memfailkan saman terhadap pihak polis dan kerajaan berhubung kehilangan suaminya serta pengendalian siasatan oleh pihak berkuasa.

Pastor Raymond Koh dilaporkan diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng ketika memandu di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017.