
LAHAD DATU, 13 April – Seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun maut selepas dipercayai dipijak seekor gajah liar dalam kejadian di Ladang Begahak 2, Jalan Tungku, di sini, semalam.
- Mangsa diserang gajah liar ketika menutup pagar kebun; anaknya berjaya menyelamatkan diri dan menjerit meminta pertolongan.
- Anak mangsa membawa bapanya ke hospital, namun mangsa disahkan meninggal dunia; mengalami patah betis dan tulang rusuk.
- Kes diklasifikasikan mati mengejut; polis minta maklumat orang ramai dan nasihatkan penduduk berhati-hati kerana kawasan tumpuan gajah liar.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa dilaporkan sedang menutup pagar kebun bersama anak lelakinya sebelum diserang haiwan berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan anak lelakinya yang berusia 38 tahun berada di ladang kelapa sawit berkenaan sebelum seekor gajah liar tiba-tiba muncul.
“Anak mangsa berjaya menyelamatkan diri dan menjerit meminta pertolongan sambil cuba mengalih perhatian haiwan itu, namun mangsa tidak sempat menyelamatkan diri lalu dipijak gajah tersebut.
“Tidak lama kemudian, gajah itu, yang dipercayai bergerak bersendirian, meninggalkan lokasi kejadian.
“Setelah keadaan selamat, anak mangsa segera mendapatkan bapanya dan membawanya ke Hospital Lahad Datu.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebaik tiba di hospital. Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami patah tulang pada bahagian betis dan tulang rusuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, iaitu Ketua Balai Polis Tungku, di talian 017-829 3359 atau tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.
Superintendan Jimmy turut menasihatkan penduduk, khususnya di kawasan Tungku sentiasa berwaspada dan berhati-hati, selain mengambil langkah keselamatan sewajarnya, kerana lokasi tersebut menjadi tumpuan gajah-gajah liar di sekitar kawasan tersebut.