
MUKAH, 20 Mei – Seorang lelaki warga asing ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah secara kecil-kecilan di sebuah rumah di Kampung Sesok di sini pada Rabu.
- Pemeriksaan menemui 14 keratan tiub straw berisi ketulan kristal disyaki syabu, disembunyikan dalam kotak rokok.
- Rampasan dianggarkan seberat 5.82 gram, bernilai kira-kira RM300.
- Ujian air kencing positif amphetamine dan methamphetamine; suspek direman empat hari, disiasat di bawah Seksyen 39A(1), 15(1)(a) Akta Dadah dan Seksyen Imigresen.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, suspek berusia 24 tahun itu ditahan dalam serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah kira-kira pukul 7.30 malam.
Menurutnya, pemeriksaan di rumah tidak bernombor itu menemukan 14 keratan tiub straw berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu yang disembunyikan di dalam kotak rokok.
“Rampasan dianggarkan seberat 5.82 gram dengan nilai kira-kira RM300.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selain Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, suspek kini direman empat hari sehingga 24 Mei bagi membantu siasatan lanjut.